Pelajar Universiti Malaya muncul juara keseluruhan TCS Sustainathon Malaysia 2021/2022 | DagangNews Skip to main content

Pelajar Universiti Malaya muncul juara keseluruhan TCS Sustainathon Malaysia 2021/2022

The Cuties dari Universiti Malaya muncul juara keseluruhan TCS Sustainathon Malaysia 2021/2022.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 11 Mei - The Cuties dari Universiti Malaya (UM) muncul juara keseluruhan TCS Sustainathon Malaysia 2021/2022 yang menyaksikan lima finalis membentangkan idea inovatif bagi menyelesaikan masalah berkaitan pendidikan.

 

Dalam penyertaan kemenangan mereka, The Cuties mencadangkan penggunaan pembantu maya e-pembelajaran Qsee untuk meringankan beban dan tekanan e-pembelajaran dalam kalangan pelajar, serta ibu bapa dan guru.

 

Secara keseluruhan, pertandingan ini telah menghimpunkan 66 penyertaan individu dan pasukan daripada 40 universiti dan kolej, merangkumi sejumlah 216 pelajar. 

 

Peringkat akhir telah dirasmikan Setiausaha Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Shaharuddin Abu Sohot.

 

TCS Sustainathon Malaysia anjuran Tata Consultancy Services bertemakan ‘Reimagining Education’, bertujuan membolehkan pelajar pengajian tinggi menyelesaikan masalah berkaitan pembelajaran digital menerusi pelaksanaan penyelesaian berasaskan teknologi inovatif. 

 

Ia sebuah insitiatif Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) pada peringkat ASEAN yang disasarkan kepada pelajar pengajian tinggi, sebagai platform untuk mengagregat idea, teknologi dan inovasi untuk menyelesaikan isu kemampanan dunia sebenar yang mendesak. 

 

TCS Sustainathon Malaysia 2021/2022 telah dibuka kepada pelajar institut pengajian tinggi awam dan swasta serta institut pendidikan teknikal, dengan penyertaan diterima daripada individu serta pasukan yang terdiri daripada sehingga lima anggota.

 

 

TCS

 

 

TCS

 

 

Peserta turut mendapat akses kepada barisan pakar untuk membantu mereka memperhalusi idea dan meraih peluang untuk membangunkan idea bertaraf juara yang sesuai untuk pelaksanaan di dunia sebenar.

 

Ketua Negara TCS Malaysia, Jeevan Rajoo berkata, pengetahuan dan pendidikan adalah pemacu utama ekonomi negara dan ianya penting untuk mengurangkan kadar kemiskinan. 

 

 

TCS

 

 

TCS

 

 

"Walaupun kita telah banyak membangun dalam dekad baru-baru ini, namun masih wujud jurang pada akses pendidikan berkualiti dan menyeluruh, yang telah diburukkan lagi oleh pandemik. 

 

"Sebagai sebuah organisasi yang percaya kepada penggabungan kemampuan kami untuk meraih lebih lagi, kami membuat keputusan untuk memberi fokus kepada TCS Sustainathon bagi menangani keperluan mendesak untuk lebih keterangkuman dan untuk mengurangkan jurang dalam kebolehcapaian pendidikan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Dua Anugerah Pengiktirafan Khas turut diberikan kepada dua lagi finalis iaitu HNM Crew dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), yang mencadangkan untuk meningkatkan penglibatan semasa kelas dalam talian melalui penjejakan aktiviti pengguna menggunakan teknologi pengimbasan iris Xpectre mereka.

 

Chan Sue Wen dari Methodist College Kuala Lumpur mencadangkan untuk mengubah bas sekolah lama menjadi kafe siber bergerak untuk kegunaan pelajar B40. - DagangNews.com