Pelaksanaan semula MRT 3, projek infrastruktur mega dijangka rangsang sektor pembinaan pada FY25, kata CGS International | DagangNews Skip to main content

Pelaksanaan semula MRT 3, projek infrastruktur mega dijangka rangsang sektor pembinaan pada FY25, kata CGS International

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Sept - Pelaksanaan semula projek MRT 3, serta inisiatif infrastruktur mega lain oleh kerajaan dijangka merangsang sektor pembinaan pada FY25, kata CGS International.

 

Pada 30 Ogos lalu, Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) mengumumkan paparan awam yang disemak semula untuk MRT 3, berjalan selama tiga bulan dari 2 September hingga 2 Disember 2024 yang bertujuan mengumpulkan maklum balas awam mengenai jajaran yang dicadangkan, lokasi stesen, dan butiran projek lain.

 

“Walaupun kami percaya paparan awam menunjukkan hasrat kerajaan untuk memulihkan projek MRT 3 tetapi garis masa masih tidak menentu buat masa ini,” katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Paparan awam itu mempunyai 35 lokasi yang ditetapkan, lapan kiosk maklumat MRT dan 27 trak maklumat MRT di tapak utama, memberi peluang kepada orang ramai untuk menyemak dan memberikan maklum balas mengenai cadangan penjajaran, tapak dan butiran projek lain.

 

Semakan dibuat selepas cadangan perubahan dalam penjajaran, memerlukan skim kereta api baharu.

 

MRT 3, juga dikenali sebagai "The Circle Line," dirancang untuk mengunjur sepanjang 51 kilometer di sekitar pinggir Kuala Lumpur, menghubungkan dengan rangkaian pengangkutan awam sedia ada melalui 10 stesen pertukaran dan penghubung.

 

CGS menekankan bahawa tumpuan kerajaan kepada projek infrastruktur sebagai cara untuk merangsang ekonomi. Ia mungkin mempercepatkan pemberian beberapa projek, termasuk LRT Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

 

"Kami percaya terdapat kemungkinan MRT 3 dimasukkan dalam Bajet 2025, dan akan dilancarkan tahun depan. 

 

"Bagaimanapun, kami juga mendapat maklumat, projek Rapid Transit System Link (RTS) Johor Bahru-Singapura mungkin lebih diutamakan berbanding MRT 3,” tambahnya.

 

Potensi pelaksanaan semula MRT 3 akan meningkatkan sentimen, membolehkan kontraktor mengisi buku pesanan mereka dengan projek berskala besar ini.

 

"Secara keseluruhannya, ini berkaitan dengan tesis kami bahawa 2025 mungkin tahun yang lebih baik untuk pembinaan, dengan pemulihan dalam infrastruktur kerajaan dan kesinambungan dalam FDI (pelaburan langsung asing) daripada pusat data, kilang semikonduktor dan gudang industri," katanya.

 

Di bawah sektor pembinaan yang semakin berkembang, Gamuda Bhd (pembida terendah untuk terowong CMC 303 sebelum tender semula) dan YTL Corporation Bhd (pembida terendah untuk CMC 302 sebelum tender semula) dijangka meraih faedah yang paling banyak.

 

CGS International menyerlahkan penerima manfaat penting lain yang berpotensi untuk projek itu, seperti WCT Holdings Bhd, Sunway Construction Group Bhd dan IJM Corporation Bhd yang terlibat dalam pembinaan MRT 1 dan MRT 2, bersama pemain bahan binaan seperti Malayan Cement Bhd dan kontraktor cerucuk seperti Econpile Holdings Bhd.

 

Anggaran kos untuk MRT 3 telah dikurangkan kepada RM45 bilion daripada RM68 bilion pada tahun 2018.

 

CGS mengekalkan saranan 'overweight' ke atas sektor pembinaan, memetik jangkaan aliran projek yang kukuh daripada pusat data, kilang semikonduktor dan gudang perindustrian, di samping kebangkitan dalam perbelanjaan infrastruktur kerajaan.- DagangNews.com