Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing segerakan proses permohonan, kelulusan pekerja sektor kritikal | DagangNews Skip to main content

Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing segerakan proses permohonan, kelulusan pekerja sektor kritikal

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 17 Jan - Kerajaan mengumumkan pelaksanaan Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing bagi menyegerakan proses permohonan serta kelulusan penggajian pekerja asing di sektor-sektor kritikal. 

 

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, dalam hubungan ini, pihak Kementerian Sumber Manusia (KSM) ingin memaklumkan bahawa pelaksanaan program ini akan dilaksanakan bagi sektor/sub sektor kritikal seperti perkilangan, pembinaan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan (restoran sahaja).

 

Beliau berkata, majikan di bawah kelima-lima sektor/sub sektor itu boleh mengemukakan permohonan penggajian pekerja asing melalui platform Foreign Worker Centralised Management System (FWCMS) di bawah Modul FWe Approval berkuat kuasa serta merta. 

 

"KSM akan memproses dan memberikan kelulusan permohonan penggajian pekerja asing ini dalam tempoh tiga hari bekerja daripada tarikh permohonan diterima. 

 

"Pengiklanan kekosongan jawatan di Portal MyFutureJobs adalah dikecualikan berkuat kuasa serta merta," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Tambah beliau, majikan yang telah membuat permohonan penggajian pekerja asing dalam Modul FWe Approval dan Modul eQuota sebelum 17 Januari 2023 dimohon untuk mengemukakan semula permohonan baharu di dalam di Modul FWe Approval bagi membolehkan permohonan majikan dipertimbangkan di bawah Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing.

 

Untuk sebarang pertanyaaan lanjut, sila hubungi Bahagian Pengurusan Pekerja Migran KSM di talian 03-8885 2939/2940. - DagangNews.com