Pelan mobilisasi projek LCS belum capai tahap signifikan - PAC | DagangNews Skip to main content

Pelan mobilisasi projek LCS belum capai tahap signifikan - PAC

KUALA LUMPUR 14 Nov - Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendapati pelaksanaan pelan mobilisasi Projek Pembangunan Kapal Peronda Generasi Kedua (LCS) belum mencapai ke tahap yang signifikan selepas pemerhatian dilakukan dalam lawatan bersama Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul pada 5 Oktober lalu.

 

Menerusi laporan yang dipaparkan di laman sesawang rasmi PAC, pihaknya mendapati pertambahan kos RM2.098 bilion terhadap Kemajuan Projek Pembangunan Kapal Peronda Generasi Kedua (LCS) sudah mengambil kira penjimatan sejumlah RM450 juta berikutan pengurangan kepada lima kapal berbanding enam sebelum itu.

 

Selain itu, PAC merumuskan bahawa kemajuan bagi kerja pembinaan sudah dimulakan di lapangan tetapit terdapat varian negatif 0.07% pada keseluruhan kemajuan projek dari perancangan asal.

 

"Bagaimanapun, Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memberi jaminan bahawa kelewatan berkenaan tidak menjejaskan garis masa keseluruhan bagi penyerahan kapal LCS kepada TLDM," katanya.

 

Laporan berkenaan turut memaklumkan, menerusi pemantauan yang dilaksanakan oleh Kementerian Pertahanan (MINDEF), TLDM dan Kementerian Kewangan (MOF), PAC berpandangan bahawa ia sepatutnya mencukupi dan menjadi pemangkin supaya projek LCS berkenaan siap tepat pada masanya.

 

"Ini kerana terdapat empat jenis Jawatankuasa yang memantau kemajuan projek LCS selain PAC iaitu Jawatankuasa Teknikal di peringkat Pasukan Projek, Project Management Review (PMR) adalah pasukan teknikal projek di peringkat Kementerian Pertahanan, Jawatankuasa Kerja yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) kementerian dan Jawatankuasa Pemantauan Projek (PMC) yang dipengerusikan secara bersama oleh Ketua Setiausaha kementerian dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan.

 

"Perjanjian Jual Beli Saham (SSA) ditandatangani di antara Ocean Sunshine Bhd (OSB) dan juga tiga pemegang saham semasa syarikat BNS iaitu Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Boustead Holdings Berhad (BHB) dan Perstim," katanya.

 

Katanya, rekabentuk terperinci atau 'detailed design' LCS masih berada pada kadar 96% kesiapan di peringkat kontraktor pembinaan dengan hanya 84% sahaja telah melalui peringkat pengesahan, verifikasi dan kelulusan oleh pihak Naval Group Perancis (penguasa reka bentuk LCS), lapor Berita Harian.

 

"Kerja pengesahan dari pihak Naval Group Perancis tergantung kerana isu tunggakan pembayaran yang tidak diselesaikan sepenuhnya.

 

"Selain itu, pembayaran balik tunggakan kepada OEM turut akan diselesaikan dalam tempoh enam bulan selepas Perjanjian Tambahan Keenam (SA6) ditandatangani," katanya.

 

Katanya, pemasangan 'mast dan radome' ketika upacara pelancaran dan penamaan kapal tidak diperlukan. Namun, mast dan radome masih perlu dipasang pada setiap LCS kerana ia berfungsi untuk menutup radar pengawasan (surveillance radar) sekali gus memberi fungsi halimunan (stealthy feature)," katanya. - DagangNews.com