Pelan perniagaan rangkaian 5G kedua masih samar, AmInvestment kekal ‘neutral’ terhadap sektor telekomunikasi | DagangNews Skip to main content

Pelan perniagaan rangkaian 5G kedua masih samar, AmInvestment kekal ‘neutral’ terhadap sektor telekomunikasi

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 11 Jan - AmInvestment Bank Research mengekalkan penarafan ‘neutral’ terhadap sektor telekomunikasi berikutan pelan perniagaan rangkaian 5G kedua samar, kekurangan pemacu pertumbuhan, dan kos operasi tinggi bagi pembangunan rangkaian 5G.

 

Firma itu berkata, jangka masa khusus untuk pengendali rangkaian mudah alih (MNO) membincangkan penglibatan mereka, sama ada dalam mengendalikan perniagaan dwi rangkaian atau membina rangkaian 5G kedua, kurang jelas pada peringkat ini.

 

Selain itu, firma penyelidikan tersebut berkata butiran mengenai rancangan perniagaan belum didedahkan untuk rangkaian kedua, yang dijangka diumumkan pada separuh pertama tahun ini. Pada masa ini, kadar penggunaan 5G masih rendah pada 10.8%.

 

Memandangkan Digital Nasional Bhd (DNB) telah mencapai 80.2% liputan populasi 5G, melepasi sasaran 80%, mesyuarat akan diadakan esok antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), DNB dan lima syarikat telekomunikasi yang terlibat dalam perjanjian langganan saham (SSA) untuk memutuskan hala tuju model dwi rangkaian 5G.

 

Lima syarikat telekomunikasi terbabit adalah CelcomDigi Bhd, Maxis Bhd, Telekom Malaysia Berhad (TM), U Mobile Sdn Bhd and YTL Power International Bhd.

 

Bagaimanapun, AmInvestment positif rancangan Jalinan Digital Negara (Jendela) Fasa 2 akan memacu permintaan selepas kejayaan Fasa 1 melepasi sasaran.

 

“Dalam Fasa 2, penekanan utama adalah pada memperluas liputan internet 5G dan memperkenal teknologi seperti teknologi satelit untuk memastikan kelajuan tinggi dan kebolehpercayaan yang dipertingkatkan.

 

“Matlamatnya adalah untuk mencapai liputan internet 100%, menyampaikan kelajuan jalur lebar mudah alih 100 Mbps dan mengatasi 9 juta premis dengan kelajuan gigabit berbanding 7.5 juta yang dicapai Jendela 1.

 

“Pelan itu menjurus ke arah meluaskan liputan internet ke institusi pengajian tinggi awam, kem tentera dan lebuh raya,” ulasnya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Namun, firma itu mendedahkan bahawa cabaran utama Jendela 2 berpunca daripada tempoh masa untuk membina menara disebabkan oleh kebimbangan keselamatan, faktor geografi, pemilik tanah yang tidak dikenali dan infrastruktur asas terhad di kawasan luar bandar.

 

Pilihan utama AmInvestment bagi sektor ini adalah Telekom Malaysia dengan saranan ‘beli’ dan nilai saksama (FV) RM6.70 sesaham memandangkan ia dijangka mendapat manfaat daripada pelancaran 5G.

 

Firma itu menambah bahawa ia mungkin menurunkan taraf sektor ini kepada ‘underweight’ jika sentimen pengguna bertukar negatif berikutan kebimbangan inflasi dan kemelesetan. - DagangNews.com