Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 24 Dis - AmInvestment Bank Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap Bermaz Auto Bhd. dengan nilai wajar (FV) lebih tinggi pada RM2 daripada RM1.80 sebelum itu.
Firma itu menyemak turun pendapatan bagi tahun kewangan 2022 (FY22) tetapi menaikkan unjuran bagi FY23 hingga FY24.
"Kami mengurangkan pendapatan FY22 sebanyak 15% yang mencerminkan impak perintah kawalan pergerakan (PKP) yang lebih lama daripada jangkaan pada separuh pertama tahun ini.
"Tetapi, pendapatan bagi FY23 dan FY24 dinaikkan sebanyak 15% dan 40% didorong anggaran jualan lebih tinggi menerusi produk dalam perancangan, lanjutan pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dan pembukaan semula ekonomi," katanya dalam nota kajian pada Rabu.
Dalam taklimat secara maya dengan pengurusan Bermaz Auto baru-baru ini, syarikat mendedahkan rangkaian produk barunya pada 2022 dengan 20 pelancaran model baharu bakal dilancarkan termasuk facelift.
Mazda 3, CX-3, CX-30, CX-8, Peugeot 2008 serba baharu, Kia Sportage dan Sorento adalah antara model facelift yang terkenal.
Selain itu, antara pemangkin penarafan semula syarikat termasuklah pemasangan tempatan model CX-30 yang boleh membawa kepada harga jualan yang lebih rendah, menjadikannya lebih kompetitif di samping meningkatkan margin model.
Mengenai masalah kekurangan bekalan cip ketika ini, Bermaz Auto menjelaskan, ia hanya memberi kesan kepada kenderaan diimport sepenuhnya (CBU).
Syarikat mempunyai inventori yang mencukupi untuk kenderaan penumpang pemasangan tempatan (CKD) dalam menangani krisis tersebut dalam tempoh terdekat.
AmInvestment berkata, Bermaz Auto merupakan pilihan utamanya bagi sektor automotif yang mana harga sahamnya diniagakan dengan penilaian menarik sebanyak 10x bagi nisbah harga kepada pendapatan (PE) dan menawarkan 5.5% hasil yang baik bagi 2022.
"Pelancaran baharu dilihat akan menyokong aliran jualan syarikat pada tahun hadapan.
"Penyertaan dalam usaha niaga baharu bagi pengedaran Kia dan Peugeot turut membantu pertumbuhan berterusan masa depan Bermaz Auto apabila operasi Mazda mencapai potensi sepenuhnya," katanya.
Pada suku kedua berakhir 31 Oktober 2021, untung bersih Bermaz Auto meningkat 5.04% kepada RM26.04 juta daripada RM24.79 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya manakala pendapatan susut 19.34% kepada RM483.84 juta daripada RM599.84 juta. - DagangNews.com