Pelarasan subsidi minyak dikhuatiri akibatkan perniagaan lain naikkan harga barangan - AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Pelarasan subsidi minyak dikhuatiri akibatkan perniagaan lain naikkan harga barangan - AmInvestment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Jun - AmInvestment Bank Research kekal berhati-hati terhadap rancangan kerajaan dalam mengurangkan impak terhadap penyasaran subsidi bahan api kerana sesetengah perniagaan mungkin memilih untuk menaikkan harga barang walaupun tidak terjejas secara langsung oleh perbelanjaan pengangkutan lebih tinggi.

 

Katanya, bermula hari 10 Jun 2024, harga diesel diselaraskan mengikut pasaran semasa dengan harga permulaan di semua stesen runcit petrol di Semenanjung Malaysia, ditetapkan pada RM3.35 seliter.

 

Firma penyelidikan itu berkata, ia merupakan fasa pertama rancangan kerajaan untuk mengurangkan subsidi bahan api dengan rasionalisasi harga petrol RON 95 yang lebih besar disasarkan pada separuh kedua tahun ini.

 

 

"Pada masa ini, pakar ekonomi kami mengunjurkan indeks harga pengguna (CPI) tahun ini pada paras 3% berbanding 2.5% konsensus.

 

"Memandangkan inflasi tidak begitu ketara daripada rasionalisasi diesel, kami tidak menjangkakan kesan negatif yang jelas kepada pasaran ekuiti buat masa ini dan pada masa sama mengunuurkan ekstor automotif juga tidak begitu terkesan kerana ia melibatkan segmen kecil jualan kenderaan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan Madani tetapkan harga diesel RM3.35 seliter di Semenanjung mulai 10 Jun 2024

 

Terdahulu, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, harga runcit baharu bahan api itu adalah berdasarkan formula mekanisme harga automatik (APM) bagi Mei.

 

Di bawah pelaksanaan subsidi diesel yang disasarkan, kerajaan telah menetapkan harga bahan api diesel bagi sektor yang layak seperti Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0, yang menyediakan kad armada kepada kenderaan logistik yang layak untuk mengurangkan kesan harga diesel ke atas harga barangan pengguna, ditetapkan pada RM2.15/liter.

 

Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 1.0 untuk pengangkutan awam darat, termasuk bas sekolah, bas ekspres, ambulans dan jentera bomba kekal pada RM1.88/liter dan diesel bersubsidi untuk nelayan dikekalkan pada RM1.65/liter.

 

Firma penyelidikan itu berkata,  kumpulan berpendapatan rendah yang layak akan menerima bantuan kewangan RM200/bulan meliputi 167 liter pertama penggunaan diesel. Pemohon subsidi diesel yang telah diluluskan sebelum 3 Jun berjumlah lebih 30,000 tidak lama lagi akan menerima bayaran bantuan BUDI Madani pertama hari ini.

 

Sementara itu, Persatuan Pengusaha Logistik Semenanjung Malaysia sedang menunggu maklumat lanjut daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup mengenai jenis pengangkutan awam dan kenderaan barangan terpilih akan terus menikmati diesel bersubsidi kerana beberapa syarikat masih menunggu kad armada.

 

AmInvestment mengekalkan saranan 'overweight' untuk sektor minyak & gas, pembinaan, teknologi, pembuatan, pelabuhan, kuasa, hartanah, amanah pelaburan hartanah (REIT) dan pengangkutan.

 

Pilihan utama kami ialah Hong Leong Bank, IOI Properties, Greatech Technology, RHB Bank, Tenaga Nasional, Telekom Malaysia, Gamuda, Dialog Group, IOI Properties, Yinson dan Pavilion REIT.

 

"Kami juga menyukai saham bermodal kecil dengan jenama yang kukuh seperti Spritzer, Ancom Nylex dan Deleum," katanya. - DagangNews.com