Pelarasan subsidi RON95 menyusul jika pelaksanaan diesel sekarang berjaya, kata pakar ekonomi | DagangNews Skip to main content

Pelarasan subsidi RON95 menyusul jika pelaksanaan diesel sekarang berjaya, kata pakar ekonomi

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 11 Jun - Pakar ekonomi berpendapat penstrukturan semula untuk RON95 adalah seterusnya bakal dilaksanakan oleh kerajaan, walaupun mereka berasa tidak pasti sama ada ia akan dilakukan sebelum akhir tahun ini.

 

Persoalan tersebut menjadi lebih mendebarkan kerana penstrukturan semula subsidi RON95 tidak disebut secara khusus di dalam Bajet 2024 yang dibentangkan di Parlimen tahun lepas.

 

Ahli ekonomi UOB Global Economics and Markets Research, Julia Goh dan Loke Siew Ting berkata, pemotongan subsidi RON95 akan bergantung kepada bagaimana kesan diesel dan kesediaan Hab Pangkalan Data Pusat (Padu), platform yang menentukan kelayakan bantuan tunai.

 

 

Lebih penting lagi, mereka menegaskan kesan langsung dan tidak langsung daripada kenaikan harga bahan api "kuning" tersebut, yang membawa berat 5.5% dalam bakul IHP keseluruhan, akan menjadi lebih ketara terhadap inflasi.

 

Ini kerana ia akan memberi kesan kepada sebahagian besar daripada 36.6 juta kenderaan bermotor yang berdaftar dan berjumlah RM66.7 bilion dalam jualan runcit bahan api automotif pada 2023.

 

Goh dan Loke berkata pada masa ini, RON95 tanpa subsidi dianggarkan berharga RM3.35 seliter, dan menunggu lebih banyak perkembangan mengenai subsidi diesel disasarkan serta pengumuman mengenai rasionalisasi subsidi bahan api RON95, mereka mengekalkan ramalan inflasi setahun penuh 2024 pada 2.6%.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan dapat jimat belanja subsidi RM4.1 bilion jika petrol RON95 dinaikkan 32 sen mulai 1 Julai, capai sasaran Belanjawan 2024 - Maybank IB

 

Sementara itu, CIMB Treasury and Markets Research meramalkan kerajaan hanya akan menyelaras semula subsidi RON95 hanya pada suku terakhir tahun (4Q24), yang berpotensi bertepatan dengan pembentangan Bajet 2025 pada 11 Oktober depan.

 

Menjelaskan unjurannya, unit penyelidikan itu memerhatikan Kementerian Kewangan sedang sibuk dengan permohonan Budi Madani, yang dijangka meningkat berikutan kenaikan harga diesel.

 

Selain itu, kerajaan mungkin menunggu data inflasi Jun dan Julai, yang dijangka dikeluarkan masing-masing pada 21 Julai dan 22 Ogos, untuk menilai kesan mekanisme diesel sebelum meneruskan pemotongan subsidi RON95, kata badan penyelidikan itu.

 

“Akan terdapat implikasi yang lebih luas daripada pemotongan subsidi RON95 terhadap kuasa beli isi rumah berbanding diesel.

 

“Sumbangan langsung kenaikan 10% dalam harga runcit RON95 ke atas inflasi utama dianggarkan sekitar 0.5 mata peratusan, berbanding 0.02 mata peratusan diesel,” tambahnya. - DagangNews.com