Pelonggaran syarat pengambilan tenaga kerja asing beri kesan positif kepada Mah Sing - HLIB | DagangNews Skip to main content

Pelonggaran syarat pengambilan tenaga kerja asing beri kesan positif kepada Mah Sing - HLIB

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Jan - Rancangan kerajaan untuk melonggarkan syarat dan mempercepatkan pengambilan tenaga kerja asing akan memberi kesan positif kepada Mah Sing Berhad.

 

Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, pendekatan berkenaan membolehkan kumpulan itu mempercepatkan pengiktirafan jualan besarnya yang belum dibilkan sebanyak RM2.3 bilion.

 

"Ini juga akan menyumbang secara positif kepada pendapatan tahun kewangan 2023 (FY23)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu memperoleh dua bidang tanah di Puchong pada harga RM85.9 juta dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM726 juta.

 

Firma itu berkata, memandangkan julat harga yang berpatutan dan lokasi yang strategik berdekatan dengan stesen LRT, projek itu sepatutnya dapat menikmati permintaan yang baik.

 

BACA JUGA: Mah Sing bangunkan projek hartanah di Puchong dengan GDV RM726 juta

 

“Kami melihat pemerolehan itu secara positif memandangkan harga pemerolehan yang menarik, masa yang pantas untuk dipasarkan dengan tarikh pelancaran tentatif pada separuh kedua 2023 (2HFY23), lokasi strategik dengan berdekatan dengan dua stesen LRT, dan julat harga berpatutan.

 

"Selepas pengambilalihan, penggearan bersih Mah Sing akan meningkat kepada 29.5% (daripada 27.1% pada 30 September 2022), manakala baki GDV akan meningkat kepada RM21.85 bilion," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak 84 sen sesaham.

 

"Kami menyukai kumpulan itu kerana model perniagaannya yang mampan, membolehkannya menyesuaikan dan menggerakkan strategi pelancarannya sebagai tindak balas kepada dinamik sektor yang berubah-ubah.

 

"Produk syarikat, dengan pendedahan dalam segmen perumahan mampu milik, harus terus menikmati permintaan berdaya tahan memandangkan kelas pertengahan yang semakin meningkat di rantau ini," katanya. - DagangNews.com