Peluang dekati pesawat tempur, lihat aksi aerobatik pada Pertunjukan Udara Singapura | DagangNews Skip to main content

Peluang dekati pesawat tempur, lihat aksi aerobatik pada Pertunjukan Udara Singapura

Lebih 60,000 pengunjung dijangka hadir pada Pertunjukan Udara Singapura.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 14 Feb - Acara berprestij Pertunjukan Udara Singapura 2024 (Singapore Air Show) bakal berlangsung pada 20 hingga 25 Februari ini di Pusat Pameran Changi.

 

Edisi kesembilan acara dwitahunan ini dijangka menarik 60,000 pengunjung.

 

Tiga hari pertama adalah khusus untuk peserta perdagangan, wakil-wakil luar negara serta korporat dan angkatan tentera sebelum dua hari terakhir dibuka kepada pengunjung awam.

 

Pertunjukan Udara Singapura mempunyai tarikan tersendiri walaupun penganjurannya tidaklah sebesar Pameran Aeroangkasa dan Maritim Langkawi (LIMA).

 

Pesawat
Tim aerobatik Jupiter.

 

LIMA menggabungkan dua segmen serentak iaitu pameran udara dan maritim dengan menawarkan keindahan landskap pulau pelancongan Langkawi.

 

Sebaliknya, Pertunjukan Udara Singapura tetap mempunyai prestij kerana menarik penyertaan negara dan pesawat-pesawat udara yang tidak hadir ke Langkawi.

 

Misalnya pesawat tempur generasi terkini, F35A yang mana ia tidak dipamerkan semasa LIMA selain dron Heron-1 buatan Israel.

 

Bagi pengunjung serantau khususnya dari Malaysia sendiri, hadir ke Singapura memberi peluang untuk melihat lebih dekat pesawat-pesawat udara milik republik itu selain tarikan pada teknologi dimiliki.

 

Sebagai negara kuasa udara terkuat di Asia Tenggara, keupayaan aset-aset Singapura sememangnya menarik perhatian umum.

 

Pesawat
Helikopter Apache.

 

Pesawat

 

Bagi edisi kali ini, sebanyak lapan pasukan aerobatik mengesahkan kehadiran.

 

Antaranya tim aerobatik helikopter Sarang milik Tentera Udara India, Roulette (Tentera Udara Diraja Australia) yang menggunakan pesawat latihan Pilatus PC-21 dan Jupiter (Tentera Udara Indonesia).

 

Tidak ketinggalan tim aerobatik Black Eagles dari Korea Selatan yang menerbangkan pesawat latihan T-50.

 

Black Eagles juga menjadi sebahagian daripada usaha mempromosikan industri aeroangkasa Korea Selatan dengan menonjolkan pesawat T-50.

 

Pesawat
Kemunculan Black Eagles dijangka mencuri tumpuan ramai.

 

Dijangka menjadi tumpuan pada acara kali ini ialah lintas terbang pesawat C919 buatan China 

 

Ia adalah jet penumpang pertama China yang dibangunkan di dalam negara dan direka untuk bersaing dengan pesawat Boeing 737 dan Airbus A320.

 

Penerbangan komersial sulung C919 dikendalikan oleh China Eastern Airlines antara Shanghai dan Beijing pada Mei lalu.

 

Turut membuat pertunjukan udara ialah aset  Tentera Udara Republik Singapura yang menampilkan pesawat tempur F-15SG dan helikopter serang AH-64D Apache.

 

Sebuah pesawat Airbus A350-1000 juga akan muncul pada acara tersebut selain pesawat pengebom strategik B-52 Startofortress milik Amerika Syarikat.

 

Pesawat

 

Pesawat

 

Sebanyak 42 buah pesawat tentera pelbagai negara dan komersial akan mengadakan pameran statik yang mana ini juga antara tarikan pengunjung untuk datang.

 

Antara pesawat yang bakal dipamerkan ialah F35A, dron MQ-9, helikopter tempur AH-64E Apache dan JAS 39 Gripen.

 

Tentera Udara Diraja Malaysia juga turut serta dengan menampilkan pesawat Sukhoi SU-30MKM.

 

Seperti penganjuran edisi lalu, kehadiran pesawat Sukhoi SU-30MKM TUDM juga antara yang mencuri tumpuan pengunjung Singapura kerana mengkagumi prestasi pesawat berkenaan. - DagangNews.com