Peluang masih terbuka untuk terlibat dengan Projek Transit Pantas Autonomi Kuching, kata RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Peluang masih terbuka untuk terlibat dengan Projek Transit Pantas Autonomi Kuching, kata RHB Investment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Jan - RHB Investment menjangkakan masih terdapat peluang kepada syarikat-syarikat berkaitan untuk terlibat dengan projek Transit Pantas Autonomi (ART) Kuching yang merupakan sebahagian daripada Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS).

 

Katanya, Fasa 1 KUTS melibatkan laluan sejuah 70km yang terdiri daripada tiga laluan dan 31 stesen dengan lorong khusus.

 

"Kami percaya bahawa masih terdapat peluang daripada projek itu terutamanya untuk pakej Blue Line 2 dan Green Line yang masih belum dianugerahkan kepada mana-mana syarikat.

 

"Berdasarkan pemerhatian, pakej Blue Line 1 untuk Kuching ART meliputi laluan sejauh 20km – meninggalkan pakej 2 (belum dianugerahkan) menjadi 7km,  selain itu, pakej Green Line (laluan terpanjang, sejauh 30km) juga belum diberikan kepada mana-mana pihak, dan berkemungkinan bernilai lebih daripada kontrak yang diberikan sebelum ini

 

"Antara syarikat berpotensi terlibat termasuk Kimlun Corporation Berhad dan KKB Engineering Berhad," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, dua pakej sistem untuk ART Kuching telah dianugerahkan pada Julai 2022 dan November 2022 bernilai RM1.9 bilion secara keseluruhan.

 

Sementara itu, kerja bagi kerja-kerja lanjutan untuk Depoh Rembus telah dimenangi oleh Hock Seng Lee, sebelum kontrak kerja penuh (bernilai RM260 juta) diberikan pada Disember 2023 kepada syarikat kerjasama (JV) antara IJM Construction, Azam Sehasrat dan Unique Deco.

 

"Depoh Rembus sedang dibina di atas tapak seluas 32.4 hektar yang akan menempatkan kemudahan seperti loji pengeluaran hidrogen, limbungan dan pusat kawalan operasi antara yang lain," katanya.

 

RHB Investment berkata, kemajuan projek KUTS menandakan usaha berterusan Sarawak dalam meningkatkan kemudahan infrastrukturnya.

 

Selain itu, katanya, pembangunan seperti lebuh raya, bangunan dan kilang perindustrian disokong oleh perbelanjaan pembangunan berjumlah RM9 bilion untuk 2024.

 

"Kami mengekalkan saranan 'overweight' untuk sektor itu," katanya. - DagangNews.com