Pembayaran Fasa 1 Bantuan Keluarga Malaysia bernilai RM2 bilion mulai 28 Mac 2022 | DagangNews Skip to main content

Pembayaran Fasa 1 Bantuan Keluarga Malaysia bernilai RM2 bilion mulai 28 Mac 2022

PUTRAJAYA 20 Mac -  Bantuan Keluarga Malaysia (BKM)  akan menerima bayaran secara berperingkat mulai 28 Mac 2022 (Isnin) melibatkan peruntukan berjumlah hampir RM2.0 bilion, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

BKM adalah sebuah inisiatif bantuan tunai langsung yang diumumkan di dalam Belanjawan 2022 bagi memanfaatkan golongan B40. 

 

Menurut beliau, bagi pembayaran Fasa 1 BKM, 8.6 juta penerima akan mendapat bayaran sebanyak RM100 hingga RM300 berdasarkan kelayakan setiap penerima merangkumi 4.0 juta isi rumah, 1.2 juta warga emas (bujang/tiada pasangan) dan 3.4 juta individu bujang.

 

''Setiap penerima yang layak akan menerima bayaran secara berperingkat mulai 28 Mac 2022 melibatkan peruntukan berjumlah hampir RM2.0 bilion.

 

''Pembayaran ini juga bagi meringankan beban kewangan rakyat terutamanya dalam menyambut bulan Ramadan 1443H,'' kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Pembayaran BKM tersebut akan disalurkan seperti berikut:

 

PM

 

Semakan status kelulusan BKM boleh dibuat mulai 28 Mac 2022 melalui pautan https://bkm.hasil.gov.my.

 

Perdana Menteri berkata, bagi memastikan program BKM disasarkan kepada mereka yang benar-benar layak, tempoh permohonan rayuan akan dibuka mulai 2 Mei 2022 untuk tempoh sebulan.

 

''Proses ini adalah bagi mempertimbangkan semula permohonan yang tidak diluluskan, dengan memberi ruang untuk mengemukakan rayuan beserta dokumen yang berkaitan untuk disemak semula oleh LHDNM.

 

''Kerajaan sentiasa peka dengan keperluan semasa dan akan terus komited dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia terutamanya kumpulan sasar,'' kata Ismail Sabri. - DagangNews.com