Pembinaan litar perlumbaan drag di setiap negeri perlu diteruskan demi kepentingan belia - Ismail Sabri | DagangNews Skip to main content

Pembinaan litar perlumbaan drag di setiap negeri perlu diteruskan demi kepentingan belia - Ismail Sabri

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 30 Mei - Pembinaan litar perlumbaan drag di setiap negeri perlu diteruskan demi kepentingan memenuhi aspirasi anak muda, kata bekas Perdana Menteri ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Ismail Sabri berkata, beliau mengambil maklum kenyataan yang dikeluarkan pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada 29 Mei 2023 mengenai keputusan kerajaan untuk tidak meneruskan pembinaan litar perlumbaan drag di setiap negeri.

 

Katanya, beliau juga memahami Belanjawan 2023 telah dibentangkan tetapi tidak sempat dibahas dan diluluskan ketika pentadbiran Kerajaan Keluarga Malaysia.

 

"Sekiranya peruntukan tersebut tidak mencukupi seperti yang disebut oleh Menteri Belia dan Sukan, jumlah tersebut boleh ditambah pada tahun berikutnya sehingga litar drag ini dapat dibina seluruh negeri. 

 

"Peruntukan sebanyak RM20 juta itu memadai sebagai dana awal melaksanakan program ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Terdahulu, KBS menerusi satu kenyataan memaklumkan, peruntukan RM20 juta bagi membangunkan sebuah litar di setiap negeri seperti yang diumumkan Ismail Sabri dalam Bajet 2023 tidak pernah dibahas dan tidak mendapat kelulusan di Parlimen.

 

Ini kerana Ismail Sabri telah membubarkan Parlimen sejurus selepas membentangkan belanjawan, selain bajet tersebut tidak pernah disalurkan kepada KBS bagi pembangunan litar drag seperti yang diumumkan.

 

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, pihak kerajaan seharusnya melihat secara mendalam tujuan sebenar pembinaan litar drag itu dan bukannya mengambil keputusan untuk tidak meneruskannya dengan memberikan pelbagai alasan. 

 

Katanya, tujuan utama pembinaan litar drag adalah untuk menghindarkan golongan muda daripada terlibat dengan budaya tidak sihat seperti perlumbaan haram, samseng jalanan dan melepak, dengan menyediakan tempat untuk mereka beriadah.

 

"Saya mempunyai keyakinan tinggi bahawa pembinaan litar drag mempunyai impak yang besar dalam menarik lebih ramai tenaga pengajar profesional untuk melatih dan melahirkan bakat baharu tempatan yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa. 

 

"Sukan permotoran mempunyai minat yang tinggi dalam kalangan belia dan jelas kelihatan sewaktu saya menghadiri Program RXZ Members 4.0 di Gong Badak pada tahun lepas dengan kehadiran puluhan ribu anak muda dari seluruh negara. Ini menunjukkan sukan permotoran mempunyai potensi yang baik," katanya.

 

Beliau berpendapat adalah ideal jika pembinaan litar drag dapat dilaksanakan di setiap daerah agar program tersebut dapat melibatkan seluruh belia termasuk mereka yang tinggal di luar bandar dan kawasan pedalaman. 

 

Katanya, beliau juga berharap Menteri Belia dan Sukan dapat turun padang dan melihat sendiri bagaimana litar drag sedia ada bagi mendapatkan gambaran jelas mengenai sukan permotoran.

 

BACA JUGA: Ismail Sabri kesal dengan kenyataan Hannah Yeoh tidak teruskan pembinaan litar perlumbaan drag

 

Tambah beliau, ia merupakan tanggungjawab bersama oleh semua pihak terutama KBS agar belia negara terus terpelihara daripada penyakit sosial yang semakin membimbangkan. - DagangNews.com