Pembinaan loji penapisan baharu di Indonesia beri nilai tambah kepada Sime Darby Plantation  | DagangNews Skip to main content

Pembinaan loji penapisan baharu di Indonesia beri nilai tambah kepada Sime Darby Plantation 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 9 Nov - Pelaburan Sime Darby Plantation Bhd. di Indonesia menerusi pembinaan loji penapisan baharu bernilai lebih AS$150 juta mampu memberi nilai tambah kepada pelan jangka panjang kumpulan dan menyediakan pertumbuhan pendapatan sinergistik bagi segmen huluannya. 

 

MIDF Research berkata, setakat ini keuntungan daripada segmen hiliran menyumbang kira-kira 17% kepada keseluruhan kumpulan dan ia telah meningkat 48% tahun ke tahun. 

 

Katanya, dari segi operasi, pengeluaran buah tandan segar bagi operasi kumpulan di Indonesia(yang menyumbang kira-kira 29% daripada jumlah buah tandan segar kumpulan) mempamerkan prestasi yang produktif sejak dua tahun lalu.

 

"Oleh itu, kami menjangkakan langkah pengembangan dalam segmen hiliran ini dapat menampung pengeluaran yang lebih tinggi akan datang daripada penanaman pokok sawit belum matang dan muda matang seluas 32,610 hektar (merangkumi 17%) dan 55,629 hektar (29%) daripada 191,825 hektar dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Semalam, cabang hiliran Sime Darby Plantation, Sime Darby Oils (SDO) mengumumkan melabur lebih AS$150 juta (RM711.18 juta) untuk membina kilang penapisan minyak dan lemak khusus baharu di Sumatera, Indonesia yang dijangka beroperasi pada 2024.

 


Baca : Unit Sime Darby Plantation labur lebih RM700 juta bina kilang penapisan baharu di Indonesia

 

Loji penapisan itu akan dibina di atas tapak seluas 16 hektar, dengan kapasiti pengeluaran tahunan lebih daripada 450,000 tan metrik bagi produk berasaskan sawit dan laurik.

 

Pada kapasiti penuh, operasi penapisan itu akan mewujudkan lebih daripada 200 pekerjaan di dalam negara dan kesan limpahan positif yang lain.

 

Loji penapisan terbaharu itu ialah aset hiliran keempat SDO di Indonesia. Selain loji penapisan utamanya di Pulau Laut, yang mula beroperasi pada 2014, ia juga mengendalikan dua loji penghancur isirung sawit (kernel) di Rantau, Kalimantan Selatan dan di Pemantang, Kalimantan Tengah.

 

Secara keseluruhan, MIDF Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap Sime Darby Plantation dengan harga sasaran tidak berubah pada RM6.30 sesaham.

 

"Kami terus menyukai saham Sime Plantation kerana ia berasaskan pada operasi bersepadunya, di mana segmen pembuatan menyumbang kira-kira 17% daripada keuntungan kumpulan.

 

"Ini akan membantu menahan dan menurunkan harga jualan purata untuk minyak sawit mentah, justeru, mengurangkan ketidaktentuan pendapatannya," katanya.

 

Setakat 12.14 tengah hari, harga sahamnya menokok 4 sen atau 0.92% kepada RM4.37 dengan 199,300 saham diniagakan. - DagangNews.com