Pembukaan Tambak Johor kepada semua kategori pengembara bakal tingkatkan aktiviti ekonomi, khususnya Johor Bahru | DagangNews Skip to main content

Pembukaan Tambak Johor kepada semua kategori pengembara bakal tingkatkan aktiviti ekonomi, khususnya Johor Bahru

Oleh TENGKU NOOR SHAMSIAH TENGKU ABDULLAH
editor@dagangnews.com

 


 

KUALA LUMPUR 15 Dis – Pembukaan Tambak Johor yang dipanjangkan kepada semua kategori pengembara mulai 20 Disember ini akan memberikan peningkatan aktiviti ekonomi khususnya dalam menghidupkan semula perniagaan runcit khususnya di Johor Bahru.

 

Menyambut baik keputusan tersebut, Presiden Dewan Perniagaan Usahawan Era Baharu Malaysia (DPUEBM), Saiful Sidek Abdullah berkata, walaupun pembukaan tambak Johor hanya dihadkan hanya pengangkutan bas ia adalah perkara yang tepat.

 

“Ini wajar dilaksanakan sebagai tempoh percubaan pelaksanaan SOP dalam keadaan pandemik ini memandangkan ia tidak sekali gus melibatkan jumlah yang ramai.

 

“Persediaan untuk menghadapi kemasukan seperti keadaan biasa sebelum pandemik perlu dilakukan secara peringkat demi peringkat,” katanya kepada DagangNews.com apabila dihubungi hari ini.

 

Beliau mengulas kenyataan media yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pada 14 Disember 2021 mengenai lanjutan Laluan Perjalanan  Vaksin-Laluan Darat (VTL).

 

Bagi memenuhi peningkatan permintaan orang ramai terhadap inisiatif VTL-Land ini, MITI berkata semua kategori pengembara warganegara serta pemastautin tetap Malaysia dan Singapura layak menggunakan laluan perjalanan VTL-Land berkuatkuasa 20 Disember ini.

 

Pada 29, November lepas, Malaysia dan Singapura telah melancarkan secara serentak laluan perjalanan VTL-Land dan VTL-Air.


 

​ Saiful Sidek Abdullah ​
                        Saiful Sidek Abdullah

 

 

Pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan rakan sejawatnya Lee Hsien Loong di Woodlands Checkpoint.

 

Inisiatif VTL-Land dilaksanakan untuk melancarkan pergerakan merentas sempadan tanpa kuarantin yang mengintegrasikan protokol kesihatan, keselamatan dan kelulusan imigresen.

 

Pelancaran VTL-Land adalah selari dengan VTL-Air yang bertujuan untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala dan ekonomi antara kedua-dua negara.

 

Saiful Sidek berkata industri pelancongan tempatan juga dijangka kembali pulih dengan kebenaran ini dan ia akan memberi kesan juga ke atas industri-industri berkaitan  dan ini baik untuk ekonomi kita.

 

“Dari segi sosialnya ini membawa khabar gembira bagi keluarga, saudara mara dan sahabat handai yang telah lama tidak bersua untuk saling dapat bersua kembali.”

 

“Ini sedikit sebanyak dapat meredakan tekanan emosi serta dapat mengurangkan kesan negatif ke atas kesihatan mental yang meningkat sepanjang pandemik ini,” ujar beliau.


 

PM

 


Dari segi prinsipnya, Saiful Sidek menegaskan pematuhan SOP oleh semua pengunjung serta penguatkusaannya adalah sesuatu yang tidak boleh dikompromi.

 

“Ini kerana sedikit sahaja kecuaian dan keingkaran di dalam mematuhinya akan mengundang penularan COVID-19 semula kelak,’’ tegas beliau.

 

Menurut MITI, Pemastautin Tetap Malaysia masih boleh memasuki Malaysia menggunakan VTL-Land. Pengembara wajib divaksinasi sepenuhnya dan bagi kanak-kanak di bawah umur 12 tahun yang tidak divaksinasi, mereka harus ditemani oleh ibu bapa atau penjaga yang telah lengkap divaksin.

 

Pengembara yang layak adalah tertakluk kepada ujian saringan COVID-19 dan keperluan kesihatan terperinci yang ditentukan oleh negara masing-masing.

 

Pada masa ini, VTL-Land masih terhad kepada perkhidmatan bas sahaja.

 

Perkhidmatan bas VTL-Land yang ditetapkan di Malaysia akan menggunakan Terminal Bas Larkin Sentral (Larkin Sentral) manakala di Singapura akan menggunakan Terminal Queen Street (QST) dan Woodlands Temporary Bus Interchange (WTBI).

 

Sebelum membuat pembelian tiket, pengembara yang ingin masuk ke Malaysia menggunakan VTL-Land dikehendaki mendaftar di https://mysafetravel.gov.my  manakala pengembara dari Malaysia ke Singapura, dikehendaki mendaftar di https://go.gov.sg/vtl-portal.

 

Butiran mengenai keperluan VTL-Land boleh didapati di https://www.miti.gov.my dan https://www.safetravel.ica.gov.sg. – DagangNews.com