Pemegang saham setuju KAB ambil alih loji tenaga hidro RM75 juta di Indonesia | DagangNews Skip to main content

Pemegang saham setuju KAB ambil alih loji tenaga hidro RM75 juta di Indonesia

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 27 April - Kejuruteraan Asastera Berhad (KAB) melalui anak syarikat, KAB Energy Holdings Sdn Bhd, telah menerima persetujuan daripada pemegang saham untuk mengambil alih PT Inpola Mitra Elektrindo (PT IME) berjumlah RM75 juta.

 

Dalam satu kenyataan hari ini, kumpulan penyedia penyelesaian kejuruteraan dan tenaga itu berkata cadangan yang telah diluluskan dalam mesyuarat agung luar biasa hari ini melibatkan pengambilalihan syarikat tersebut yang memiliki dan loji kuasa hidro mini 11MW di Daerah Pakpak Bharat, Sumatera Utara, Indonesia

 

Cadangan tersebut sebelum ini telah diumumkan pada 29 Julai 2022, di mana KAB Energy akan mengambil alih sepenuhnya PT IME daripada Sarawak Cable Berhad dan pemegang saham minoriti lain berjumlah RM75 juta.

 

Menurut KAB, loji janakuasa itu dibangunkan, dimiliki dan dikendalikan oleh PT IME di bawah perjanjian pembelian tenaga (PPA) dengan PT Perusahaan Listrik Negara (PLN), syarikat elektrik milik kerajaan Indonesia dengan tempoh konsesi awal selama 20 tahun daripada tarikh operasi komersial, yang dicapai pada 12 Oktober 2021.

 

Setelah selesai cadangan pengambilalihan, loji tenaga hidro mini PT IME dijangka memberikan KAB aliran pendapatan yang stabil dan berulang.

 

Pengarah Urusan Kumpulan KAB, Datuk Lai Keng Onn melihat perkembangan ini sebagai satu kejayaan memandangkan ia menyediakan kestabilan sumber pendapatan berulang di samping memberikan kedudukan langsung dalam industri kuasa hidro yang menguntungkan.

 

“Langkah ini adalah selaras dengan keseluruhan strategi perniagaan kami dalam mengembangkan rangkaian penyelesaian kumpulan untuk segmen penyelesaian tenaga lestari (SES) bagi memenuhi keperluan pelanggan yang semakin meningkat," ujar beliau.

 

Beliau menambah bahawa kumpulan tersebut komited meneruskan projek tenaga mampan yang lebih besar dan bercita-cita tinggi untuk terus memacu pertumbuhan segmen SES apabila permintaan global bagi penyelesaian sedemikian terus meningkat.

 

Kumpulan tersebut menjangkakan bahawa segmen SES akan menjadi penyumbang utama selaras dengan jangkaan peningkatan dalam prestasi kewangan dan akhirnya mencapai lebih daripada 50% sumbangan keuntungan operasi pada masa hadapan, katanya. -DagangNews.com