Pemegang saham Stella setuju ambil alih Pembinaan Teguh Maju bernilai RM380 juta | DagangNews Skip to main content

Pemegang saham Stella setuju ambil alih Pembinaan Teguh Maju bernilai RM380 juta

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 2 Nov - Stella Holdings Berhad telah menerima kelulusan pemegang saham untuk mengambil alih Pembinaan Teguh Maju Sdn Bhd (PTM) yang bernilai RM380 juta.

 

Pengarah Urusan Stella, Datuk Benson Lau berkata pengambilalihan PTM membawa pesanan luar bernilai RM1.16 bilion, merangkumi kerja raya, pembinaan bangunan serta projek mekanikal dan elektrik, ke dalam portfolio Stella, sekali gus mengukuhkan prospek pertumbuhan syarikat.

 

“Kelebihan PTM dalam kejuruteraan awam, kerja raya dan pelbagai projek infrastruktur mewakili penyesuaian strategik yang sempurna dengan operasi sedia ada kami.

 

“Kami juga digalakkan oleh sokongan pemegang saham untuk inisiatif pelaburan swasta dan penjenamaan semula.

 

“Keyakinan mereka yang tidak berbelah bahagi membolehkan kami untuk menyasarkan lebih tinggi dan melaksanakan pelan hala tuju strategik,” ujar beliau dalam satu kenyataan media susulan mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang diadakan hari ini.

 

 

Datuk Benson Lau
Datuk Benson Lau

 

 

Menurut kenyataan tersebut, PTM telah mengemukakan tawaran dan sedang berunding untuk kontrak berjumlah kira-kira RM1.78 bilion, bagi memperkuatkan lagi potensi keuntungan dalam tempoh tiga tahun akan datang.

 

Tambahnya, PTM turut memberikan jaminan keuntungan sebanyak RM120 juta bagi tahun kewangan berakhir pada 30 Jun 2024, 2025 dan 2026  (FY24-26) kepada syarikat.

 

Selain meluluskan pengambilalihan PTM, pemegang saham Stella juga menyokong penempatan persendirian sehingga 50 juta saham, kira-kira 74.63% daripada jumlah saham terbitan semasa Stella atau 11.99% selepas pengambilalihan.

 

Jelasnya, inisiatif ini bertujuan untuk mengumpul RM40 juta bagi keperluan seperti bahan pembinaan, kos tenaga kerja, dan subkontraktor.

 

Sebagai tambahan kepada pengambilalihan ini, Stella akan dijenamakan semula kepada Varia Berhad, yang menggabungkan visi dan matlamat lebih luas.

 

Setakat pukul 2:32 petang ini, saham Stella menurun 1 sen atau 0.9% kepada RM1.07 dengan permodalan pasaran sebanyak RM71.7 juta.  - DagangNews.com