Pemeriksaan diagnostik 20 titik keselamatan percuma sepanjang Oktober sempena pembukaan Volkswagen Setia Alam  | DagangNews Skip to main content

Pemeriksaan diagnostik 20 titik keselamatan percuma sepanjang Oktober sempena pembukaan Volkswagen Setia Alam 

Berkeluasan 60,000 kaki persegi, dua tingkat pusat servis mampu menyelenggara 30 unit kenderaan sehari
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 13 Okt – Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) dan Goh Brothers Motor telah melancarkan penambahan terbaharu dalam rangkaian Volkswagen iaitu Volkswagen Setia Alam.

 

Ini merupakan pengedar sah Volkswagen yang ketiga oleh Goh Brothers Motor, selepas di Juru dan Ipoh, serta merupakan pengedar Volkswagen yang ke-18 di Malaysia. 

 

Memiliki keluasan keseluruhan 60,000 kaki persegi, Volkswagen Setia Alam terdiri daripada sebuah bangunan empat tingkat yang hadir dengan indentiti korporat, kemasan dan peralatan terkini yang mematuhi standard ditetapkan oleh Volkswagen.

 

Sebagai sebuah pusat 4S, pemilik boleh mendapatkan semua keperluan kenderaan mereka di bawah satu bumbung – dari aspek jualan, servis, alat ganti hinggalah badan dan cat. Bilik pameran di Tingkat Mezzanine yang seluas 2,970 kaki persegi boleh mempamerkan sebanyak lapan buah kereta, lengkap bersama sebuah lounge untuk pengunjung berehat dan bersantai.

 

Pusat servis yang terdiri daripada dua tingkat seluas 10,200 kaki persegi dikendalikan oleh 15 orang kakitangan selepas jualan berpengalaman. Mereka boleh menyelenggara sehingga 30 unit kenderaan Volkswagen setiap hari.

 

Sempena pembukaannya, Volkswagen Setia Alam menjemput para pemilik Volkswagen yang masih belum menyelenggara kereta masing-masing selama enam bulan untuk mendapatkan pemeriksaan diagnostik 20 poin keselamatan secara percuma. Tawaran itu boleh dinikmati sepanjang bulan Oktober.


 

VW Setia Alam

 


Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter berkata, “Hubungan baik dengan rakan pengedar, Goh Brothers membolehkan kami membuka pengedaran di Setia Alam. Pembukaan kemudahan ini mengukuhkan lagi rangkaian pengedaran dan kehadiran jenama Volkswagen di negara ini.

 

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Goh Brothers di atas pembukaan ini dan sangat menghargai komitmen anda terhadap jenama Volkswagen,” kata Erik.

 

Pengarah Urusan Goh Brothers Motor, Goh Kian Sin memberitahu beliau teruja kerana mempunyai jenama Volkswagen di bawah kumpulan syarikatnya di Lembah Klang.

 

“Dengan pengembangan perniagaan di lokasi baharu, Volkswagen Setia Alam akan memberi khidmat kepada komuniti di bandar ini dan kawasan sekitarnya, termasuklah Shah Alam dan Klang. Kami ingin menjemput semua peminat dan pelanggan Volkswagen untuk mengunjungi pusat 4S sah kami serta menikmati pengalaman pemilikan yang lebih baik dengan Goh Brothers Motor.”

 

 

VW Setia Alam

 

 

Volkswagen Setia Alam beroperasi dari Isnin hingga Ahad bermula 8:30am - 5:30pm (jualan). Sementara servis selepas jualan pula adalah pada Isnin hingga Sabtu bermula 8.30am - 5:30pm. - DagangNews.com