Pemeriksaan tahunan pekerja asing penting cegah awal penyakit berjangkit, elak kos rawatan tinggi | DagangNews Skip to main content

Pemeriksaan tahunan pekerja asing penting cegah awal penyakit berjangkit, elak kos rawatan tinggi

Oleh JOHARDY IBRAHIM

PELAKSANAAN ujian saringan berkala setahun sekali berbanding setiap dua tahun sebelum ini bagi pekerja asing adalah penting dalam pengesanan awal penyakit Filariasis (penyakit untut), Hepatitis C dan penyalahgunaan dadah (Methamphetamine) sekaligus mengelakkan kos tinggi rawatan penyakit berjangkit.

 

Naib Presiden I-Medik, Pakar Perubatan Kesihatan Awam UniSZA, Dr Mohd Ihsanuddin Abas menjelaskan bahawa pemeriksaan berkala akan membolehkan pesakit menerima rawatan segera jika didapati positif bagi memastikan kesihatan mereka dan keselamatan orang lain.

 

BACA JUGA: Saringan kesihatan pekerja asing perlu diperketat: Penyakit filariasis, hepatitis dan salah guna dadah meningkat

 

Di samping itu kata beliau, saringan perubatan tahunan penting untuk mengenal pasti penyakit awal bagi meningkatkan kesihatan individu dan mengurangkan risiko penularan penyakit kepada masyarakat.

 

“Kira-kira 40 peratus individu dengan Hepatitis C kronik tidak menyedari jangkitan mereka dan dengan menjalani saringan perubatan setiap tahun, diharap penyakit seperti ini dapat dikesan pada peringkat awal agar rawatan sewajarnya dapat diberikan bagi memastikan kesihatan kita terpelihara,” kata beliau.

 

 

 

 

Dr Mohd Ihsanuddin Abas
                            Dr Mohd Ihsanuddin Abas

 

 

Hepatitis C (HCV) dianggap sebagai ancaman kesihatan utama kepada Malaysia, di mana dalam tempoh 2003 hingga 2022, sejumlah 39,374 kes jangkitan HCV telah dilaporkan dan pada tahun 2022 sahaja, terdapat 4,626 kes jangkitan HCV dilaporkan, dengan kadar yang dilaporkan sebanyak 14.17 peratus bagi setiap 100,000 penduduk.

 

“Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 105 peratus berbanding kadar 6.91 peratus bagi setiap 100,000 penduduk direkodkan pada tahun 2015," katanya lagi.

 

FOMEMA menekankan bahawa pencegahan awal amat penting terutamanya bagi melindungi kumpulan berisiko tinggi tertentu seperti wanita hamil, individu dengan HIV, pengguna dadah, dan pekerja penjagaan kesihatan berisiko tinggi seperti mereka yang terdedah kepada kecederaan akibat jarum, memerlukan pemeriksaan yang lebih kerap.

 

Kos rawatan

Kos dan tempoh rawatan Filariasis Limfatik dan Hepatitis C berbeza-beza mengikut keperluan setiap kes dan kesan kos rawatan kepada sistem penjagaan kesihatan negara adalah amat ketara.

 

 

anekdot mawarith

 

wainuiomata

 

 

Kos rawatan bagi penyakit Hepatitis C selama 12 minggu boleh menelan kos sehingga RM356,000 (AS$84,000), yang turut menjadi penghalang bagi ramai orang untuk mendapatkan rawatan. 

 

Kos rawatan yang tinggi memberi implikasi beban kewangan yang besar kepada majikan, terutamanya majikan di negara ini yang diwajibkan melindungi pekerja asing mereka dengan skim insurans. 

 

“Tanggungjawab tambahan ini meningkatkan kos pengambilan pekerja asing di Malaysia. Oleh itu, pelaksanaan pilihan rawatan yang lebih berpatutan adalah penting dalam menguruskan penyakit ini dalam kalangan pekerja asing,” kata Dr Mohd Ihsanuddin.

 

Pada masa yang sama, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang berusaha untuk menyediakan pilihan rawatan yang berpatutan.

 

Sebagai contoh, terdapat potensi untuk mendapatkan rawatan selama 12 minggu menggunakan Ravidasvir dan versi generik Sofosbuvir pada kos AS$100 dengan mengeluarkannya di Malaysia.

 

 

Filariasis Limfatik

 

 

Bagi Filariasis Limfatik, rawatan untuk orang dewasa dan kanak-kanak melebihi 18 bulan biasanya melibatkan Diethylcarbamazine (DEC) pada dos 6mg/kg/hari.

 

Ini boleh diberikan sama ada untuk tempoh rawatan selama satu hari atau 12 hari, dengan rawatan satu hari secara amnya berkesan seperti rejimen 12 hari. 

 

Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengesyorkan rejimen ubat ini diberikan sekali setahun selama sekurang-kurangnya lima tahun, dengan perlindungan sekurang-kurangnya 65 peratus daripada populasi berisiko.- DagangNews.com