Pemerolehan tanah terbaharu dijangka kukuhkan kedudukan Matrix Concepts di Negeri Sembilan - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Pemerolehan tanah terbaharu dijangka kukuhkan kedudukan Matrix Concepts di Negeri Sembilan - MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Jun - MIDF Research menjangkakan pemerolehan tanah terbaharu Matrix Concepts Holdings Bhd di Labu akan mengukuhkan kedudukannya di Negeri Sembilan.

 

Katanya, pengambilalihan baharu itu terletak bersebelahan dengan tanah seluas 559.3 hektar yang diperoleh mereka pada Ogos 2022.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kedua-dua tapak akan membentuk pembangunan 963.2 hektar dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM12 bilion dan tempoh pembangunan selama 12 tahun, bermula pada tahun kewangan 2026 (FY26).

 

 

Terdahulu, Matrix Concepts mengumumkan pemerolehan tanah seluas 404.7 hektar di Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0), Labu daripada Sime Darby Bhd melalui Megah Sedaya Sdn Bhd (MSSB).

 

Baki 15% daripada MSSB dimiliki oleh NS Corp, iaitu sebuah syarikat milik kerajaan yang bertanggungjawab mempromosi dan mengurus pembangunan ekonomi di Negeri Sembilan.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Matrix Concepts bangunkan bersama NS Corp tanah di Koridor Pembangunan MVV2.0

 

“Kami melihat perjanjian tanah itu secara positif kerana ia akan mengukuhkan jejak Matrix Concepts di Negeri Sembilan.

 

“Pertimbangan pembelian sebanyak RM435.6 juta diterjemahkan kepada RM10 setiap kaki persegi, yang lebih tinggi daripada harga RM7.64 kaki persegi untuk perjanjian tanahnya sebelum ini.

 

“Namun begitu, kami berpendapat harga pemerolehan adalah adil memandangkan peningkatan dan prospek positif bagi projek hartanah di Negeri Sembilan,” katanya dalam satu nota kajian.

 

MIDF Research berkata, potensi GDV daripada tanah itu ialah RM5 bilion, yang diterjemahkan kepada nisbah kos kepada GDV sebanyak 8.7%.

 

Matrix Concepts berhasrat untuk membiayai perjanjian tanah dengan gabungan pinjaman dan dana yang dijana secara dalaman.

 

Ini akan meningkatkan penggearannya, tetapi firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu mempunyai kunci kira-kira yang kukuh, berada dalam kedudukan tunai bersih pada FY24.

 

“Kami menganggarkan penggearan bersih meningkat kepada 0.31 kali ganda selepas imbangan pembayaran untuk pengambilan tanah MVV 2.0 pertama dan pengambilan tanah terkini.

 

"Sementara itu, kesan ke atas pendapatan adalah terhad kerana tanah itu hanya perlu dibangunkan selepas FY26, justeru kami mengekalkan unjuran pendapatan kami," katanya.

 

Firma penyelidian itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM2.05 sesaham. - DagangNews.com