KUALA LUMPUR 17 Mei - Pemulihan fiskal global pada 2021 yang menyusuli kejutan COVID-19 pada 2020 telah memperlahan dengan ketara, terjejas oleh harga komoditi yang lebih tinggi, inflasi yang meningkat secara umumnya, peningkatan kos pinjaman, pertumbuhan KDNK benar yang perlahan dan perang di Ukraine, menurut Fitch Ratings.
Dalam satu kenyataan, agensi penarafan itu berkata inflasi yang lebih tinggi disertai pertumbuhan ekonomi yang perlahan tidak mewakili dilema dasar yang sama kepada pihak berkuasa fiskal seperti yang berlaku kepada bank pusat.
Ia berkata kerajaan-kerajaan berdaulat yang menerima penarafan Fitch, telah pun memperkenalkan langkah sokongan fiskal untuk membantu isi rumah dan perniagaan menghadapi harga yang semakin pantas, dan lebih banyak dasar sedemikian dijangka jika harga terus naik.
Fitch berkata kadar faedah dasar semakin meningkat, dan ini menandakan berakhirnya era kos pinjaman kerajaan yang sangat rendah, yang telah memberi manfaat terutamanya kepada negara pasaran maju.
“Walaupun begitu, kadar faedah sebenar adalah penting untuk pertumbuhan, dan kadar sebenar berbanding pertumbuhan KDNK benar yang penting untuk dinamik hutang kerajaan.
"Kematangan hutang yang panjang membayangkan peningkatan beban perkhidmatan faedah akan menjadi kenyataan secara beransur-ansur," katanya.
Agensi penarafan itu berkata kedudukan fiskal pasaran baru muncul adalah lebih berbeza berbanding sebelum pandemik.
Ia berkata ini sebahagiannya disebabkan oleh lonjakan harga komoditi yang menyokong hasil kerajaan dan pertumbuhan KDNK nominal di wilayah pengeksport komoditi, termasuk Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Amerika Latin.
Fitch berkata dengan perbezaan fiskal yang lebih besar telah menyebabkan perbezaan penarafan yang lebih besar.
“Bilangan kerajaan berdaulat yang dinilai ‘CCC’ atau lebih rendah berada pada atau menghampiri paras tertinggi dalam sejarah sejak akhir 2020.
"Keadaan kredit global semasa dan yang dijangkakan oleh Fitch untuk tahun depan mencadangkan tekanan fiskal dan penarafan yang berterusan di hadapan," katanya. - DagangNews.com