Pemulihan kehadiran pelancong, Maybank IB unjur pendapatan Genting Malaysia meningkat 60% tahun ini | DagangNews Skip to main content

Pemulihan kehadiran pelancong, Maybank IB unjur pendapatan Genting Malaysia meningkat 60% tahun ini

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Jan - Pendapatan Genting Malaysia Berhad dijangka meningkat sebanyak 60% pada tahun ini didorong pemulihan kehadiran pelancong ke Resorts World Genting (RWG) ke tahap pra COVID-19.

 

Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, unjuran itu dibuat adalah selepas Genting Malaysia melaporkan untung bersih sebanyak RM158.3 juta bagi tempoh tiga bulan sehingga 30 September 2023 berbanding kerugian RM8.2 juta pada tahun sebelumnya hasil prestasi cemerlang RWG.

Katanya, ketibaan pelawat akan pulih kepada 24 juta tahun ini, meningkat berbanding 21 juta pada 2023 apabila pelancong antarabangsa kembali dalam jumlah yang lebih besar.

 

“Walaupun jumlah kehadiran pelawat ke Malaysia dan Singapura telah pulih ke tahap pra COVID-19 namun Indonesia dan China masih belum mencatatkan perubahan ketara.

 

"Kami berharap perjalanan udara dari Indonesia dan China akan dipulihkan sepenuhnya pada tahun ini dibantu dengan kemasukan ke Malaysia tanpa visa selama 30 hari kepada pelancong China.

 

“Peningkatan cukai perkhidmatan kepada 8% daripada 6% berkuat kuasa 1 Mac 2024 juga memberikan kelebihan dan kami menjangkakan anggaran pendapatan FY24 Genting Malaysia pulih 60% tahun ke tahun,” katanya dalam satu nota kajian, hari ini.​

 

Maybank IB berkata, pemulihan sedemikian akan membolehkan Genting Malaysia membayar dividen sebanyak 15 sen setahun, hasil 'layak' sekurang-kurangnya 5.4%.

 

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu berkata, pendapatan dan anggaran saham mereka akan meningkat dengan ketara sekiranya syarikat itu berjaya memenangi lesen kasino di New York.

 

Kataya, kedua-dua pendapatan dan anggaran harga saham akan meningkat dengan ketara sekiranya syarikat itu terbukti berjaya memenangi lesen kasino penuh di New York.

 

"Kami berharap keputusan untuk tawaran Resorts World New York City bagi lesen berkenaan akan diketahui sebelum akhir tahun," katanya. - DagangNews.com