Penambahan dua kapal MISC sokong inisiatif keterjaminan, peralihan tenaga global | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penambahan dua kapal MISC sokong inisiatif keterjaminan, peralihan tenaga global

FPSO Marechal Duque de Caxias bakal berlayar ke lokasi pengeluarannya pada pertengahan Februari tahun ini.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 24 Jan - MISC  Berhad menambah dua lagi aset iaitu kapal pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO) Marechal Duque de Caxias dan kapal pengangkut minyak mentah besar (VLCC) dwi-bahan api gas asli cecair (LNG)  terkini, Eagle Veracruz.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MISC, Rajalingam Subramaniam berkata, permulaan 2024 dengan penambahan dua kapal tersebut melambangkan komitmen yang fokus dan berterusan untuk menyokong inisiatif keterjaminan tenaga dan peralihan secara bertanggungjawab dan mampan di peringkat global.

 

Beliau menambah, Eagle Veracrus menonjolkan langkah kumpulan dalam rumusan maritim mesra alam, sejajar dengan piawaian IMO 2025 EEDI Fasa III.

 

Eagle
VLCC Eagle Veracruz

 

 

Menurut beliau, 15% daripada kapal petroleum global AET kini dikuasakan oleh teknologi dwi-bahan api LNG dan berkembang.

 

“Sementara kami terus beralih kepada teknologi bahan api lebih bersih dan hampir sifar pelepasan karbon generasi akan datang, kami terus percaya LNG masih akan memainkan peranan penting dalam peralihan yang bertanggungjawab.

 

“Pada masa yang sama, kemasukan kumpulan ke pasaran tenaga Brazil dengan FPSO Marechal Duque de Caxias bukan sahaja menandakan langkah strategik menceburi operasi air laut dalam, malah turut menekankan komitmen kami terhadap keupayaan pemprosesan karbon dioksida,” ujar beliau dalam satu kenyataan media hari ini.

 

 

misc

 

 

Rajalingam berkata komitmen MISC adalah memastikan kerjasama yang bertanggungjawab dalam memenuhi keperluan tenaga dunia dan mengurus pelepasan gas rumah hijau masyarakat, seperti ditunjukkan menerusi penambahan dua kapal tersebut.

 

FPSO Marechal Duque de Caxias, yang akan mula belayar pada pertengahan Februari ke lokasi pengeluarannya, dibina dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 180,000 tong minyak mentah sehari dan 12 juta meter padu gas sehari.

 

Sementara itu, VLCC Eagle Veracruz, yang menggunakan LNG, menghasilkan pelepasan gas rumah hijau 16% lebih rendah daripada kapal sama yang hanya menggunakan bahan api minyak berat.  - DagangNews.com