Penambahan kerja lebih rendah, TA Securities semak turun unjuran pendapatan TRC Synergy sebanyak 9.6% bagi FY24 | DagangNews Skip to main content

Penambahan kerja lebih rendah, TA Securities semak turun unjuran pendapatan TRC Synergy sebanyak 9.6% bagi FY24

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Feb - TA Securities menyemak turun unjuran pendapatan TRC Synergy Bhd sebanyak 9.6% bagi FY24 kesan daripada penambahan kerja yang lebih rendah daripada jangkaan.

 

Walaupun berjaya menambah kontrak ke dalam buku pesanan FY24 sebanyak RM700 juta namun firma penyelidikan itu telah melaraskan semula andaian pengiktirafan hasil daripada bahagian pembinaan pada tahun ini.

 

"Pelarasan ini berpunca daripada kadar penambahan kerja yang lebih rendah daripada jangkaan sebanyak RM33.6 juta pada FY23, berbanding andaian awal kami sebanyak RM500 juta.

 

"Ia mengakibatkan kami mengurangkan unjuran pendapatan kumpulan," katanya dalam satu nota kajian.

 

Terdahulu, anak syarikat milik penuh kumpulan itu, Trans Resources Corporation Sdn Bhd menerima kontrak bernilai RM358 juta bagi cadangan pengubahsuaian bangunan utama dan kerja-kerja infrastruktur di Kompleks Kejuruteraan Subang A, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS).

 

Kerajaan sebelum ini mengumumkan Pelan Penjanaan Semula Lapangan Terbang Subang (SARP), yang akan melonjakkan status lapangan terbang itu menjadi hab aeroangkasa dan penerbangan serantau.

 

Pelan penjanaan semula itu dijangka meningkatkan kapasiti semasa lapangan terbang itu kepada lapan juta penumpang setahun, sekali gus menjadi pelengkap kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

 

TA Securities berkata, kontrak pertama yang diraih pada tahun ini dilihat akan menyumbang secara positif kepada pesanan tertunggak kumpulan dan berdasarkan anggaran keuntungan sebanyak 8%, kumpulan itu dijangka menjana hasil sebanyak RM21.8 juta sepanjang tempoh kontrak.

 

Katanya, memandangkan TRC berjaya memperoleh kontrak besar pertamanya dalam tempoh yang agak lama, mereka optimis tentang kesan positif ke atas keterlihatan pendapatan kumpulan dalam jangka sederhana.

 

"Kami percaya kejayaan ini meletakkan kumpulan yang baik untuk meneruskan dan mendapatkan projek yang lebih besar pada masa hadapan, dengan memanfaatkan rekod prestasinya yang kukuh.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) 51 sen sesaham," katanya. - DagangNews.com