Pencarum i-Saraan KWSP dapat insentif tambahan dari Grab | DagangNews Skip to main content

Pencarum i-Saraan KWSP dapat insentif tambahan dari Grab

 

 

KUALA LUMPUR 7 Sept. - Grab Malaysia (Grab) menerusi kerjasama terbaharu dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menawarkan insentif kepada rakan pemandu dan penghantarnya yang menabung untuk simpanan persaraan melalui program i-Saraan bermula 1 September lalu.

 

Bagi mereka yang berumur 55 tahun ke bawah yang mencarum melalui program ini akan menikmati caruman tambahan dari Grab sebanyak 5% sehingga maksimum RM80 setiap tahun manakala 55 tahun ke atas pula akan menikmati caruman tambahan sebanyak 10%, sehingga maksimum RM120 setiap tahun.

 

Sementara itu, bagi akan pemandu dan penghantar yang dikenal pasti sebagai orang kurang upaya (OKU) bagi semua peringkat umur yang mencarum melalui i-Saraan atau program caruman sukarela KWSP, Grab juga memberi insentif tambahan sebanyak 10%, sehingga maksimum RM120 setiap tahun.

 

Kerjasama ini adalah kesinambungan daripada memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani kedua-dua pihak pada Ogos 2018. 

 

i-Saraan ialah caruman sukarela yang membolehkan individu yang bekerja dalam ekonomi gig dan juga yang bekerja sendiri menabung untuk simpanan persaraan mereka melalui caruman di KWSP

 

Mereka yang mencarum dalam i-Saraan akan menerima insentif kerajaan sebanyak 15% berdasarkan jumlah caruman individu setahun, sehingga maksimum RM250 setahun. 

 

Di bawah program caruman sukarela pula, individu boleh mencarum sendiri pada bila-bila masa sehingga RM60,000 setahun.

 

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerjasama KWSP dan Grab ini akan meningkatkan kesejahteraan persaraan rakan pemandu dan penghantar mereka. 

 

Katanya, MoU ini juga bertujuan mempromosikan literasi kewangan dalam kalangan rakan pemandu dan penghantar Grab serta kepentingan membuat persediaan persaraan, terutama dalam landskap ekonomi yang mencabar ini di mana semua pihak perlu cakna dengan keadaan kewangan masing-masing.

 

“Kami berharap komuniti rakan pemandu dan penghantar Grab yang amat bekerja keras akan mendaftar sebagai ahli KWSP dan membuat simpanan untuk tabung persaraan mereka, sama ada melalui program i-Saraan atau caruman sukarela. 

 

"Ini bukan sahaja dapat membantu mereka membuat persediaan persaraan, malah mereka juga akan dapat mendapat manfaat sebagai ahli KWSP, antaranya dividen tahunan ke atas simpanan, pelepasan cukai, dan bantuan kematian," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Grab Malaysia, Sean Goh berkata, berikutan pandemik, terdapat penambahan pendaftaran yang mendadak untuk menjadi rakan pemandu dan penghantar, dengan lebih 50,000 orang menyertai platform ini. 

 

Katanya, mereka bekerja keras setiap hari untuk menampung diri dan keluarga, dan ini mendorong Grab untuk memberikan yang terbaik. 

 

"Disebabkan itu, kami akan membuat caruman tambahan sebanyak 10% untuk rakan kami yang berumur 55 tahun ke atas yang menyertai skim caruman sukarela, dan juga rakan OKU.

 

"Kami percaya bahawa kerjasama ini merupakan langkah yang baik, di mana kerjasama pihak awam dan swasta dapat menggalakkan pegangan kewangan yang akan seterusnya mengukuhkan kedudukan kewangan rakyat Malaysia,” katanya. - DagangNews.com