Pendaftaran percuma SSM BizTrust dilanjutkan sehingga 31 Dis 2021 | DagangNews Skip to main content

Pendaftaran percuma SSM BizTrust dilanjutkan sehingga 31 Dis 2021

 

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 20 Nov. - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mendapati hanya 4,181 entiti perniagaan atas talian telah berdaftar dengan SSM BizTrust, dengan sejumlah 629 entiti perniagaan didaftarkan sepanjang tahun ini setakat 31 Oktober 2020. 


Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, jumlah itu masih kecil iaitu hanya 1.12% daripada 373,213 peniaga atas talian yang direkodkan SSM. 


Katanya, ini belum termasuk peniaga atas talian yang bergerak secara bersendirian dan tidak memasarkan produk mereka di platform market place ternama.


"Sehubungan itu, KPDNHEP mengambil inisiatif melanjutkan tempoh pendaftaran SSM BizTrust secara percuma sehingga 31 Disember 2021. 


"Ini memandangkan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), agensi di bawah KPDNHEP dalam proses penambahbaikan sistem dengan mengambil kira pertumbuhan dalam bidang teknologi dan perniagaan e-dagang," katanya dalam kenyataan hari ini.


SSM dan KPDNHEP juga akan melaksanakan nasihat berterusan agar pengguna yang hendak menjalankan transaksi atas talian membuat semakan terlebih dahulu dan memastikan hanya melakukan urus niaga dengan syarikat-syarikat yang telah diiktiraf dan memiliki logo BizTrust.


KPDNHEP meminta agar lebih ramai peniaga atas talian menyahut seruan dan peluang ini dengan mendaftar SSM BizTrust di portal https://biztrust.ssm.com.my, 24 jam sehari dan 7 hari seminggu.


Axlexander berkata, ini adalah penting untuk melindungi pengguna dari dimanipulasi peniaga yang tidak bertanggungjawab.


SSM BizTrust adalah sebuah simbol pengiktirafan dan piawaian kualiti yang ditawarkan kepada sesebuah entiti perniagaan yang dikawal selia oleh SSM dengan syarat entiti tersebut telah mematuhi prinsip dan kriteria yang telah ditetapkan.


Peniaga-peniaga atas talian yang layak dan berjaya memperolehi pensijilan SSM BizTrust akan dapat memaparkan Logo SSM BizTrust pada laman sesawang, media sosial dan blog perniagaan mereka yang terdaftar. - DagangNews.com