Pendapatan 9M20 Huawei 'suram' | DagangNews Skip to main content

Pendapatan 9M20 Huawei 'suram'

Huawei

SHANGHAI 23 Okt. - Jumlah pendapatan syarikat  Huawei Technologies Co. Ltd. China pada sembilan bulan pertama 2020 dilihat suram berbanding tahun sebelumnya.

Situasi suram itu disebabkan oleh tindakan sekatan eksport oleh Amerika Syarikat (AS) serta kesan penularan wabak COVID-19 di peringkat global.

Pendapatan Huawei hanya meningkat 9.9% kepada ¥671.3 bilion (AS$ 100.44 bilion) pada Januari hingga September.

Bagi tempoh Januari hingga Jun, pendapatan syarikat berkenaan meningkat 13%.

Bagaimanapun, margin keuntungan bersih Huawei untuk tempoh sembilan bulan pertama itu adalah 8.0% berbanding 8.7% pada tempoh sama tahun sebelumnya, lapor CNA.

Huawei juga akan menghentikan penghasilan cip Kirin susulan sekatan yang dilakukan AS.

Keputusan itu dimakumkan oleh Ketua Eksekutif Kumpulan Perniagaan Pengguna Huawei, Richard Yu pada awal tahun ini.

Susulan itu, penganalisis menjangkakan bekalan cip tersebut akan habis pada tahun hadapan.

Rata-rata jualan Huawei di seluruh negara berada pada tahap perlahan disebabkan oleh kekurangan akses untuk perkhidmatan mudah alih Google Alphabet Inc.

Huawei juga berdepan dengan tekanan dalam perniagaan infrastruktur telekomunikasi hingga mendorong Sweden untuk melakukan sekatan terhadap Huawei daripada menerima rangkaian 5G yang akan datang. - DagangNews.com