KUALA LUMPUR 11 Mei - Pendapatan bersih Sentral Real Estate Investment Trust (REIT) menyusut sebanyak 13.2% kepada RM17.7 juta bagi suku pertama 2023 berbanding RM20.4 juta pada tahun lalu.
Pengerusi Sentral REIT Management Sdn. Bhd., Tan Sri Saw Choo Boon berkata, pihaknya mengakui cabaran berterusan yang dihadapi oleh pasaran pejabat selepas mencatatkan keputusan yang lebih pada suku pertama.
Beliau berkata, syarikat itu akan memberi tumpuan kepada peningkatan prestasi kewangannya sambil mengharungi ketidaktentuan makroekonomi dan peningkatan kos.
"Kami kekal komited bagi menyampaikan nilai mampan kepada pihak berkepentingan kami melalui pelaksanaan strategi berdisiplin untuk mencapai pertumbuhan merentas portfolio sedia ada, sambil meneroka secara aktif pelaburan akretif," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.
Pendapatan Sentral REIT yang lebih rendah pada suku tersebut adalah disebabkan hasil yang direalisasikan dan penghunian yang lebih rendah serta kos kewangan dan perbelanjaan utiliti yang lebih tinggi.
Sentral REIT melaporkan pendapatan RM37.48 juta berbanding RM38.76 juta pada suku yang sama pada 2022.
Ketua Pegawai Eksekutif Sentra REIT, Derek Tan Wan Wei berkata, kira-kira 10% atau 162,000 kaki persegi daripada jumlah kawasan boleh disewa bersih komitednya akan diperbaharui pada 2023 dengan 42% perlu dibayar pada suku pertama 2023.
Beliau berkata, Sentral REIT mencapai kadar pembaharuan 99% bagi pajakan yang perlu dibayar dalam tiga bulan pertama tahun itu.
Sejajar dengan itu, kadar penghunian purata Sentral REIT pada 31 Mac 2023, dikekalkan pada 77% berbanding suku keempat 2022.
"Selaras dengan strategi pengekalan penyewa kami yang berterusan, kami telah memulakan rundingan pembaharuan awal untuk beberapa pajakan yang perlu dibayar pada baki suku tahun 2023.
"Kami juga telah menggiatkan usaha pemasaran untuk memajak ruang kosong semasa dengan tujuan untuk meningkatkan kadar penghunian tahun ini," katanya. - DagangNews.com








