Pendapatan bukan bahan bakar kurangkan risiko Petronas Dagangan | DagangNews Skip to main content

Pendapatan bukan bahan bakar kurangkan risiko Petronas Dagangan

Setel

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 19 Nov. - Risiko syarikat Petronas Dagangan Berhad (Petronas Dagangan) dilihat dapat dikurangkan melalui penjanaan pendapatan bukan bahan bakar.

 

CGS-CIMB Research berkata, perkara itu dinilai berdasarkan kepada prestasi yang lebih stabil dalam produk bukan bahan bakar.

 

"Kami dapati bahawa jumlah pendaftaran SETEL meningkat kepada 1.6 juta pengguna pada suku ketiga 2020 berbanding 1.3 juta pengguna pada suku kedua 2020.

 

"Pertumbuhan jumlah dan margin melalui transaksi SETEL masing-masing meningkat kepada lebih 100% dan 80% pada suku ketiga 2020.

 

"Ini disebabkan oleh sentimen pelanggan yang terus memilih untuk mengurangkan urusan dengan pekerja di stesen minyak," jelas CGS-CIMB Research.

 

Mengulas lanjut, CGS-CIMB Research memberitahu, Petronas Dagangan juga sedang memperluas perkhidmatan kedai MESRA yang turut menyediakan Makan@MESRA dan Deliver2Me bagi meningkatkan lagi pengalaman pelanggan sekali gus mendorong penjarakan fizikal.

 

"Kami lihat perkara itu akan terus memberikan petanda baik untuk pendapatan bukan bahan bakarnya," tambah CGS-CIMB Research.

 

Jumlah jualan Petronas Dagangan sekali lagi terjejas akibat pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dijalankan sejak Oktober.

 

Perkara itu diberitahu melalui taklimat maya yang dianjurkan oleh pihak Petronas Dagangan semalam.

 

Susulan itu, CGS-CIMB Research menjangkakan PKPB akan memberi kesan yang lebih teruk berbanding perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dijalankan pada Mac.

 

Hal ini kerana purata harga jualan (ASP) pada tempoh PKP masih stabil.

 

"Oleh itu, kami jangkakan jumlah jualan runcit tahun kewangan 2020 secara keseluruhannya akan menurun sebanyak -4.0% lagi disebabkan oleh perkembangan terkini," ujar CGS-CIMB Research lagi. - DagangNews.com