Pendapatan Hartalega bagi 9MFY24 susut 30.9% kepada RM1.3 bilion akibat jualan yang lebih rendah | DagangNews Skip to main content

Pendapatan Hartalega bagi 9MFY24 susut 30.9% kepada RM1.3 bilion akibat jualan yang lebih rendah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Feb - Pendapatan Hartalega Holdings Berhad bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Disember 2023 (9MFY24) susut kepada RM1.3 bilion atau 30.9%  berbanding RM1.89 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, penyusutan itu adalah disebabkan jumlah jualan yang lebih rendah kerana industri masih berhadapan pelarasan inventori rantaian bekalan serta penurunan dalam purata harga jualan (ASP).

 

"Penurunan hasil seterusnya membawa kepada kerugian operasi pada 9MFY24, walaupun sebahagiannya diimbangi oleh kos bahan mentah yang lebih rendah dan perbelanjaan operasi dalam tempoh tersebut.

 

"Walaupun mencatatkan hasil lebih rendah, Hartalega bagaimanapun mencatatkan keuntungan kasar sebanyak RM20 juta didorong daripada tukaran mata wang asing serta pendapatan faedah yang lebih tinggi dalam tempoh tersebut," katanya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, bagi suku ketiga berakhir 31 Disember 2023 (3QFY24), hasil kumpulan itu susut sebanyak RM46 juta atau 10% kepada RM416 juta berbanding RM461 juta pada suku sama tahun sebelumnya disebabkan jumlah jualan serta ASP lebih rendah.  

 

Walaupun mencatatkan hasil lebih rendah, kumpulan itu mencatatkan untung yang lebih tinggi sebanyak RM29 juta pada suku tersebut berbanding kerugian sebelum cukai sebanyak RM 31 juta pada sku sama tahun sebelumnya.

 

"Prestasi yang bertambah baik ini disebabkan oleh kos bahan mentah dan perbelanjaan utiliti yang lebih rendah, kecekapan pengeluaran yang lebih baik hasil daripada penggunaan kapasiti yang lebih tinggi serta penjimatan kos daripada pelaksanaan rasionalisasi operasi," katanya.

 

Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu berkata, lebihan bekalan sarung tangan global dijangka berterusan walaupun sektor itu berada dalam fasa pelarasan selain tekanan harga jualan dijangka kekal kesan daripada asas penawaran dan permintaan yang tidak stabil.

 

Katanya, rasionalisasi kapasiti yang dilakukan oleh pengeluar domestik utama bersama penyingkiran pemain yang lebih kecil telah membantu mengurangkan tekanan lebihan bekalan dalam pasaran.

 

"Permintaan baru-baru ini telah menunjukkan tanda-tanda peningkatan dan dijangka kembali normal dalam masa terdekat.

 

"Hartalega akan terus fokus kepada pengurusan kos yang lebih baik, meningkatkan kecekapan operasi dan meningkatkan inisiatif automasi," katanya.​ - DagangNews.com