Pendapatan Lagenda Properties dijangka meningkat 30% bagi FY22 didorong prospek jualan positif | DagangNews Skip to main content

Pendapatan Lagenda Properties dijangka meningkat 30% bagi FY22 didorong prospek jualan positif

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Feb - AmInvestment Bank Research menjangkakan pendapatan Lagenda Properties Berhad akan meningkat sebanyak 30% bagi FY22 yang disokong oleh prospek jualan yang baik.

 

Katanya, syarikat itu bakal mendapat permintaan yang kukuh dalam pasaran hartanah kerana memberi tumpuan terhadap pembangunan mampu milik.

 

Pada masa sama, kumpulan itu turut memberi fokus kepada amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) menerusi pemasangan panel sistem solar dalam projek pembangunan mereka dan ia dilihat berada pada landasan yang tepat.

 

"Bagaimanapun, ada beberapa perkara yang akan menjejaskan pendapatan kumpulan itu termasuk permintaan yang kurang dalam segmen hartanah.

 

"Pada masa sama akan berlaku kelawatan dalam kemajuan pembangunan akibat gangguan berkaitan COVID-19 yang dilihat akan menjejaskan kecekapan kumpulan itu," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, Lagenda Properties mencatatkan keuntungan bersih RM200.5 juta pada FY21 dan berjaya mencapai 88% daripada sasaran 94% yang diunjukan firma penyelidikan itu akibat daripada pengiktirafan pendapatan yang perlahan.

 

Perak sebelum ini beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara pada 18 Oktober 2021 dan Fasa 4 pada 8 November 2021.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' untuk saham-saham Lagenda Properties dengan sasaran harga RM1.90 berbanding RM1.94 sebelum ini.

 

"Kami juga menyemak semula unjuran pendapatan kumpulan untuk FY22/FY23 iaitu sebanyak 9% dan 7% kepada RM261 juta serta RM305 juta,". - DagangNews.com