Pendapatan Lagenda Properties dipacu dua projek perumahan pada separuh kedua 2023 – AmInvesment | DagangNews Skip to main content

Pendapatan Lagenda Properties dipacu dua projek perumahan pada separuh kedua 2023 – AmInvesment

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 23 Mei - Dua projek perumahan mampu milik Lagenda Properties Berhad akan mendorong pengebilan kemajuan dan mendatangkan pendapatan pada separuh kedua tahun kewangan 2023 (2HFY23).

 

“Kemajuan pembinaan yang pantas ini akan meningkatkan pengebilan kemajuan dan mendatangkan pendapatan dalam 2HFY23. Oleh itu, kami tidak membuat sebarang perubahan pada ramalan pendapatan,” kata AmInvesment Research  dalam nota hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata demikian susulan keuntungan bersih kumpulan pada suku pertama tahun kewangan 2023 (1QFY23) merangkumi 17% daripada anggaran pendapatannya bagi FY23.

 

Prestasi 1QFY23 dianggap dalam jangkaan firma memandangkan perkembangan pembinaan Darulaman Lagenda dan Lagenda Tropika akan dipercepatkan pada suku-suku mendatang yang pada masa ini masih dalam peringkat awal pembinaan.

 

Pada 1QFY23, jualan baharu Lagenda meningkat 78% YoY kepada RM257 juta, mencapai 29% daripada sasaran jualannya bagi FY23 sebanyak RM900 juta.

 

AmInvestment berkata lebih 50% daripada jualan dalam 1QFY23 didorong oleh tempahan Darulaman Lagenda, yang telah terjual sebanyak 94% pada akhir Mac 2023.

 

Di samping itu, Lagenda Properties telah memperoleh tempahan RM433 juta, peningkatan 27% YoY, pada 31 Mac 2023, dan kekal fokus untuk menukarnya kepada jualan.

 

Firma itu percaya bahawa sebahagian besar tempahannya akan ditukar kepada jualan kerana pembeli utama terdiri daripada penjawat awam biasanya mempunyai nisbah penukaran jualan yang lebih tinggi sebanyak 90%.

 

Didorong oleh pemulihan pantas projek dalam dua hingga dua setengah tahun, firma itu menjangkakan jualan kumpulan yang tidak dibilkan kebanyakannya diiktiraf pada FY23.

 

“Kami terus menyukai Lagenda Properties kerana niche syarikat dalam pembangunan perumahan mampu milik atas tanah yang kurang dibina untuk populasi besar kumpulan pendapatan B40 dan M40,” tambahnya.

 

AmInvesment mengekalkan saranan ‘beli’ dengan nilai saksama (FV) tidak berubah sebanyak RM1.81 sesaham. -DagangNews.com