Pendapatan Malaysia Smelting Corp bagi FY23 susut kepada RM1.4 bilion kesan kelemahan harga purata bijih timah | DagangNews Skip to main content

Pendapatan Malaysia Smelting Corp bagi FY23 susut kepada RM1.4 bilion kesan kelemahan harga purata bijih timah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Feb - Pendapatan Malaysia Smelting Corp Bhd bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23) dusut kepada RM1.4 bilion berbanding RM1.5 bilion pada tahun sebelumnya kesan daripada purata harga bijih timah yang lemah.

 

Kumpulan itu mencatatkan jualan lebih tinggi bagi bijih timah ditapis tetapi terkesan oleh purata harga bijih timah yang jatuh 13.6% kepada RM118,100 setiap tan berbanding RM136,700 setiap tan pada FY22.

 

Untung bersih kumpulan itu juga susut kepada RM85.1 juta pada FY23 berbanding RM98.3 juta pada tahun sebelumnya.

 

Segmen peleburan bijih timah mencatatkan untung bersih RM36 juta pada FY23 berbanding kerugian bersih RM5.5 juta pada FY22.

 

"Pemulihan pendapatan disokong pendapatan yang lebih tinggi berbanding peningkatan jualan timah bertapis yang diperoleh daripada perantaraan timah, serta jualan produk sampingan yang lebih tinggi, dan hasil peleburan," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

Kumpulan itu berkata, bagi 4QFY23, mereka mencatatkan untung bersih sebanyak RM9.4 juta, dengan hasil sebanyak RM404.6 juta.

 

Katanya, cabang peleburan bijih timah mencatatkan kerugian bersih RM2.2 juta, berbanding keuntungan bersih RM19.2 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya. 

 

"Prestasi yang lebih perlahan ini disebabkan terutamanya oleh kerugian pertukaran asing pada suku tersebut, serta ketiadaan penjualan timah ditapis daripada perantaraan timah yang diproses dan penjualan produk sampingan," katanya.

 

Mengulas mengenai prestasi kumpulan, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr. Patrick Yong berkata, operasi kumpulan pada FY23 sangat mencabar dengan kadar faedah tinggi, tekanan inflasi selain ketegangan geopolitik berpanjangan di Asia Barat dan perang Rusia-Ukraine. 

 

Beliau berkata, pihaknya kekal melaksanakan pelan strategik bagi menyelaraskan operasi dan meningkatkan kecekapan operasi kumpulan. 

 

Katanya, perpindahan operasi ke kilang peleburan Pulau Indah dijangka menghasilkan kecekapan yang lebih baik dan penjimatan kos kira-kira 30%, bersama-sama dengan jejak karbon yang lebih rendah.

 

"Pada masa sama, kami akan menutup kilang peleburan Butterworth secara berperingkat, bermula pada 2024.

 

“Bagi perniagaan perlombongan bijih timah kami, tumpuan kami adalah untuk meningkatkan pengeluaran harian kami dan produktiviti perlombongan keseluruhan. 

 

"Untuk mencapai matlamat ini, kami sedang meneroka sumber bijih timah baharu dan mengembangkan aktiviti perlombongan," katanya. - DagangNews.com