Pendapatan MBM Resources akan terus berpaksikan kepada Perodua - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Pendapatan MBM Resources akan terus berpaksikan kepada Perodua - MIDF Research

Gambar MBMR
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 28 Mei - MIDF Research menjangkakan pendapatan MBM Resources akan terus berpaksikan kepada Perodua yang sedang menyelesaikan tunggakan pesanan dengan difahamkan berjumlah 128,000 unit pada akhir 2023.

 

Menurut firma penyelidikan itu, tunggakan itu setara dengan jangkaan masa menunggu selama empat bulan walaupun pesanan tertunggak telah menunjukkan trend yang lebih sederhana dalam setahun yang lalu.

 

"Kami masih mengekalkan unjuran pendapatan MBM Resources buat masa ini," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

 MBM Resources memiliki 20% kepentingan dalam Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua). 

 

Firma penyelidikan itu pada masa sama menyemak turun saranan MBM Resources kepada Neutral daripada Beli.

 

"Harga sasaran (TP) kekal tidak berubah pada RM4.92 sesaham dengan mengekalkan MBM Resources pada PER FY24F 7x. Pulangan dividen FY24F sebanyak 7.2% (DPR: 50%) tetap menarik.

 

"Bagaimanapun, harga saham telah meningkat dengan signifikan sebanyak +42% dalam tempoh 1 tahun yang lepas dan sebanyak +84% sejak bermulanya pandemik - saham ini kini didagangkan pada PER FY24F/25F 7.2x. 

 

"Kami percaya risiko ganjaran MBM Resorces cukup seimbang pada tahap harga saham semasa di tengah-tengah momentum yang mencapai puncak dan normalisasi yang dijangkakan dalam Jumlah Volum Industri (TIV). Oleh itu, kami menurunkan MBM Resources kepada Neutral daripada Beli," ujarnya.

 

mbmr

 

Sementara itu, MIDF Research berkata, keputusan kewangan suku pertama 2024 (1QFY24) MBM Resources adalah dalam lingkungan anggaran tetapi di hadapan konsensus. 

 

"Kumpulan tersebut melaporkan keuntungan bersih sebanyak RM80 juta yang menyumbang kepada 29%/32% daripada anggaran kami/konsensus untuk tahun penuh.

 

"Tiada dividen interim diumumkan untuk suku tersebut tetapi dividen akhir sebanyak 15 sen bagi FY23 dicadangkan pada April 2024, tertakluk kepada kelulusan pemegang saham pada AGM yang akan datang pada 30 Mei. Jika diluluskan, dividen akhir tersebut membawa jumlah dividen FY23 kepada 54 sen atau pulangan/DPR yang besar sebanyak 10.7%/69%," katanya.

 

Jelas firma penyelidikan itu, kenaikan untung bersih yang lebih sederhana buat MBM Resources pada suku berkenaan yang berkembang dengan kadar +3% YoY.

 

"Ini disebabkan oleh pertumbuhan yang sederhana oleh rakan kongsi (+0.6% yoy, menyumbang 72% kepada pendapatan pra-cukai kumpulan) dan penurunan margin di bahagian perdagangan jentera," ujarnya.

 

Kata MIDF Research, pendapatan juga disokong oleh hasil selepas jualan yang lebih tingg, sebahagiannya diimbangi oleh volum jualan yang lebih rendah untuk Volvo, Volkswagen (VW) dan kenderaan perdagangan Daihatsu.

 

"Bahagian alat ganti kereta menyaksikan -4%yoy penguncupan hasil, tetapi ini disebabkan terutamanya oleh campuran pelanggan dan model, manakala permintaan pengeluaran daripada OEM masih bertahan," katanya.- DagangNews.com