Pendapatan UMW Holdings diunjur menurun sebanyak 23.4% bagi FY23 | DagangNews Skip to main content

Pendapatan UMW Holdings diunjur menurun sebanyak 23.4% bagi FY23

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Dis - Pendapatan sesaham bagi tahun kewangan UMW Holdings Berhad bagi FY23 dijangka menurun sebanyak 23.4% berikutan asas yang tinggi pada FY22.

 

Menjelang FY23, Affin Hwang Capital kekal berhati-hati dengan prospek pendapatan UMW dan mengunjurkan penurunan pendapatan sesaham kumpulan itu.

 

Firma itu berkata, penurunan itu berpunca daripada kekurangan bekalan cip yang berpanjangan, gangguan rantaian bekalan berterusan dan penurunan permintaan untuk kereta dalam persekitaran kadar faedah yang lebih tinggi. 

 

"Pendapatan FY23 yang kebanyakannya akan dicapai pada 1QFY23 dengan kumpulan itu berusaha untuk memenuhi tarikh akhir penghantaran bagi mereka yang menempah sebelum tempoh pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) tamat," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Sehingga Oktober 2022, firma itu berkata Perodua merekodkan jumlah jualan terkumpul sebanyak 222,200 unit manakala UMW Toyota, termasuk Toyota dan Lexus merekodkan 80,200 unit.

 

Katanya, walaupun kemajuan jumlah jualan yang kukuh, firma itu berkata, kumpulan itu mungkin melihat kelembapan dalam momentum penghantaran untuk baki tahun ini disebabkan beberapa cabaran untuk pengedar kenderaan.

 

"Melangkah ke hadapan ke FY23, kami menjangkakan jumlah jualan akan terkesan kerana kumpulan memberi fokus kepada memenuhi tarikh akhir pendaftaran pada 31 Mac 2023 untuk pesanan pengecualian SST.

 

"Dengan itu, kami menjangkakan volum jualan Perodua dan UMW Toyota masing-masing merosot kepada 220,000 dan 75,000 unit," katanya.

 

Firma itu berkata, walaupun mengunjurkan penurunan pada FY23, ia masih menjangkakan pendapatan UMW akan melebihi paras pra pandemik.

 

Katanya, ia memberikan permintaan yang kukuh dan kapasiti pembuatan yang lebih tinggi di seluruh operasinya.

 

"Kami mengekalkan penarafan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) RM3.45 sesaham," katanya. - DagangNews.com