Pendapatan Westports bagi 6MFY24 meningkat kepada RM1.1 bilion dipacu pengendalian kontena lebih tinggi | DagangNews Skip to main content

Pendapatan Westports bagi 6MFY24 meningkat kepada RM1.1 bilion dipacu pengendalian kontena lebih tinggi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Julai - Westports Holdings Bhd (Westports) mencatatkan peningkatan pendapatan kepada RM1.1 bilion bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2024 (6MFY24) berbanding RM1.05 bilion pada tahun lalu dipacu pengendalian kontena yang lebih tinggi dalam tempoh itu.

 

Kumpulan itu berkata, untung bersih bagi tempoh berkenaan juga meningkat kepada RM408.3 juta berbanding RM378.4 juta pada 2QFY23 dan kumpulan itu turut mengisytiharkan dividen interim sebanyak 8.89 sen sesaham bernilai RM303 juta.

 

Pada separuh pertama tahun ini, kumpulan itu mengendalikan jumlah kontenan yang lebih tinggi sebanyak 5.4 juta unit bersamaan 20 kaki (TEU) dengan perdagangan serantau intra-Asia menyokong pertumbuhan dengan laluan perdagangan itu menyumbang 65% daripada kontena yang dikendalikan.

 

Dalam segmen konvensional, kumpulan mengendalikan kargo pukal berjumlah 5.68 juta tan metrik, yang akan menyokong aktiviti ekonomi domestik kerana pengeluaran yang lebih besar adalah untuk kargo projek, jongkong, gegelung, kacang soya dan jagung.

 

"Jumlah pinjaman kumpulan bagaimanapun meningkat kepada RM1.105 bilion kerana pengeluaran pinjaman baharu sebanyak RM355 juta bagi pembelian Marina Land.

 

"Ia akan menyokong perbelanjaan pembangunan terminal kontena permulaan WP2 sebanyak RM12.6 bilion," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Untung bersih bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2024 (2QFY24) kumpulan itu meningkat kepada RM203.7 juta berbanding RM194.8 juta pada tahun sebelumnya manakala hasil bagi suku berkenaan meningkat kepada RM553 juta berbanding RM542.6 juta pada 2QFY23.

 

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan Westports, Datuk Ruben Emir Gnanalingam Abdullah berkata, kesesakan pelabuhan serantau telah berkurangan, tetapi ia menyerlahkan kesalinghubungan hab perkapalan kontena Asia Tenggara, seperti Pelabuhan Klang dan Singapura.

 

Beliau berkata, ia menekankan kepentingan mempunyai berbilang pelabuhan bagi mengendalikan perdagangan serantau yang semakin meningkat kerana seiring dengan meningkatkan daya tahan dan kebolehpercayaan keseluruhan rantaian bekalan serantau.

 

"Westports akan menyambut ulang tahunnya yang ke-30 pada September 2024 dan sedang berusaha ke arah tahun ke-31 operasinya dengan memulakan program pembesaran terminal kontena Westports 2.

 

"Apabila siap, Westports 2 akan hampir menggandakan kapasiti pengendalian daripada 14 juta TEU kepada 28 juta TEU.

 

"Kami komited untuk melabur dan mengekalkan Pelabuhan Klang sebagai salah satu hab pemindahan terbesar dan paling kompetitif di rantau ini," katanya. - DagangNews.com