Pendigitalan PKS bukan lagi pilihan | DagangNews Skip to main content

Pendigitalan PKS bukan lagi pilihan

Digital

KUALA LUMPUR 11 Ogos - Transformasi digital bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bukan lagi satu pilihan, sebaliknya satu keperluan sejak berlakunya pendemik COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Surina Shukri berkata, pandemik itu memberi kesedaran terhadap kepentingan pendigitalan bagi memastikan kelancaran urusan perniagaan bersama pelanggan secara dalam talian.

"Sebelum penularan COVID-19 ada tanggapan bahawa digitalisasi merupakan pilihan sahaja kerana peniaga merasakan perniagaan mereka berjalan lancar walaupun tidak menggunakan teknologi digital.

"Namun, peniaga mula membuat pertimbangan untuk menggunakan teknologi digital selepas mereka sedar kesannya daripada sudut makro seperti wujud ramai pesaing dalam pasaran dan juga model perniagaan baharu," jelasnya dalam sesi perbicangan Sidang Kemuncak Digital PKS hari ini.

Surina Shukri. Gambar oleh Borneo Post Online
Surina Shukri. Gambar oleh Borneo Post Online

 

Jelas Surina lagi, peningkatan pendigitalan mula dilihat pada tahun 2019 dan lebih ketara sejak penularan wabak.

MDEC merupakan agensi di bawah seliaan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) yang diamanahkan untuk menerajui pembangunan ekonomi digital negara.

Mandat MDEC adalah termasuk memacu penerapan penggunaan teknologi digital dalam kalangan rakyat, pembangunan bakat, merangka dasar ekonomi digital serta mewujudkan juara dalam bidang ekonomi digital di peringkat global.

Sementara itu, seorang lagi panel dalam sesi perbicangan tersebut, Juara Nexus Produktiviti Digital, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Datuk Wei Chuan Beng memberitahu, penglibatan pemimpin dalam setiap organisasi untuk memulakan pendigitalan adalah langkah penting ke arah perubahan tersebut.

"Pemimpin perlu melakukan pembangunan modal insan serta kepada pekerja yang kurang berkemahiran.

"Selain itu, pemimpin juga harus memikirkan aspek dana dalam merialisasikan pendigitalan itu," katanya lagi - DagangNews.com