KUALA LUMPUR 14 Mei - Penduduk Malaysia pada suku tahun pertama 2024 dianggarkan berjumlah 34.0 juta orang, meningkat 2.3% berbanding suku sama 2023 (33.2 juta), lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.
DOSM yang menerbitkan Perangkaan Demografi suku pertama 2024 berkata, jumlah penduduk Malaysia ini merangkumi 30.6 juta (90.0%) Warganegara dan 3.4 juta (10.0%) Bukan Warganegara.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, penduduk lelaki meningkat kepada 17.8 juta daripada 17.4 juta pada suku tahun pertama 2023 dan perempuan meningkat kepada 16.1 juta daripada 15.8 juta bagi tempoh yang sama.
Secara keseluruhan, katanya, nisbah jantina penduduk adalah 111 lelaki bagi setiap 100 perempuan, manakala nisbah jantina bagi penduduk Warganegara adalah 103 lelaki bagi setiap 100 perempuan.
"Melayu menyumbang 57.9% (17.7 juta) daripada jumlah penduduk pada suku tahun pertama 2024 (1Q 2023: 17.6 juta).
"Penduduk Cina, India dan Bumiputera Lain kekal kepada 22.6%, 6.6% dan 12.2%. Bumiputera Sabah merangkumi Kadazan/Dusun (2.1%), Bajau (1.8%), Murut (0.3%), manakala Bumiputera Sarawak merangkumi Iban (2.4%), Bidayuh (0.7%) dan Melanau (0.4%).

"Penduduk umur muda (0 - 14 tahun) dan umur bekerja (15 - 64 tahun) masing-masing meningkat daripada 7.5 juta dan 23.2 juta kepada 7.7 juta dan 23.8 juta pada suku tahun pertama 2024," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, kata Dr Mohd Uzir, komposisi penduduk umur tua (65 tahun dan lebih) kekal tidak berubah pada 2.5 juta.
Beliau juga menyatakan, jumlah kelahiran hidup merekodkan penurunan sebanyak 9.4% (106,386 kelahiran) berbanding 117,413 kelahiran pada suku tahun pertama 2023.
Katanya, secara purata seorang bayi dilahirkan pada setiap minit, 49 bayi bagi setiap jam dan 1,182 bayi dilahirkan sehari pada suku tahun pertama 2024.

"Bayi lelaki melebihi bayi perempuan dengan 54,747 kelahiran berbanding 51,639 kelahiran.
"Selangor mencatatkan bilangan kelahiran hidup tertinggi iaitu 19,951 kelahiran (18.8%) manakala jumlah kelahiran hidup terendah dicatatkan oleh Wilayah Persekutuan Labuan (323 kelahiran: 0.3%).
"Ibu berumur 30 - 39 tahun merekodkan kelahiran hidup tertinggi iaitu 55,864 (52.5%) pada suku tahun ini, diikuti oleh ibu berumur 20 - 29 tahun (40.0%), 40 tahun dan lebih (6.0%) dan kurang daripada 20 tahun (1.5%)," kata beliau.

Tambah Ketua Perangkawan itu, Melayu menyumbang 68.8% (73,136 kelahiran hidup) daripada jumlah kelahiran hidup pada suku tahun pertama 2024 (ST1 2023: 67.6%).
Katanya, kelahiran hidup bagi Cina dan India masing-masing menurun kepada 8.8% dan 3.7% berbanding 9.7% dan 4.3% pada suku tahun pertama 2023.
Manakala, Bumiputera Lain merekodkan peningkatan kepada 12.7% pada suku tahun pertama 2024 (ST1 2023: 12.6%), ujar Dr Mohd Uzir.

Mengulas lanjut katanya, sebanyak 47,964 kematian telah direkodkan pada suku tahun pertama 2024, penurunan sebanyak 1.5 peratus berbanding suku tahun pertama 2023 (48,693 kematian).
"Secara purata, satu kematian direkodkan pada setiap dua minit, manakala 22 kematian direkodkan setiap jam dan 533 kematian sehari pada suku tahun pertama 2024.
"Bilangan kematian bagi lelaki adalah 27,434 manakala 20,530 kematian bagi perempuan," katanya.
Pada tempoh masa yang sama, Selangor merekodkan bilangan kematian tertinggi iaitu 7,730 kematian (16.1%) manakala Wilayah Persekutuan Putrajaya mencatatkan bilangan kematian terendah dengan 68 kematian (0.1%).
Kumpulan umur 60 tahun dan lebih merekodkan bilangan tertinggi iaitu 34,067 kematian (71.0%), diikuti oleh umur 41 - 59 tahun (19.8%), umur 15 - 40 tahun (7.0%) dan umur 0 - 14 tahun (2.2%).
Pada suku tahun pertama 2024, Melayu menyumbang 51.4 peratus (24,667 kematian) daripada jumlah kematian (1Q 2023: 51.9%).
"Kematian bagi Cina meningkat kepada 27.0 peratus pada suku tahun pertama 2024 berbanding 26.1 peratus pada suku tahun pertama 2023.
"Sementara itu, jumlah kematian bagi India kekal tidak berubah pada 8.5 peratus, manakala kematian bagi Bumiputera Lain menurun kepada 10.4 peratus pada suku tahun pertama 2024 (1Q 2023: 10.8%)," jelas Dr Mohd Uzir. - DagangNews.com








