Penduduk Malaysia cecah 33.7 juta pada suku keempat 2023 - DOSM | DagangNews Skip to main content

Penduduk Malaysia cecah 33.7 juta pada suku keempat 2023 - DOSM

Jumlah penduduk itu merangkumi 30.5 juta (90.6%) warganegara dan 3.2 juta (9.4%) bukan warganegara. - Gambar NAIM AZIZ/DagangNews
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 14 Feb - Penduduk Malaysia pada suku keempat 2023 dianggarkan berjumlah 33.7 juta, meningkat 2% berbanding suku keempat 2022 sebanyak 33 juta, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, jumlah penduduk itu merangkumi 30.5 juta (90.6%) warganegara dan 3.2 juta (9.4%) bukan warganegara. 

 

Katanya, kenaikan itu disumbangkan pertambahan semula jadi yang positif bagi warganegara dan juga pertambahan penduduk bukan warganegara. 

 

"Penduduk lelaki meningkat kepada 17.7 juta daripada 17.2 juta pada suku keempat 2022 dan perempuan meningkat kepada 16 juta daripada 15.8 juta bagi tempoh yang sama. 

 

"Secara keseluruhan, nisbah jantina penduduk adalah 110 lelaki bagi setiap 100 perempuan, manakala nisbah jantina bagi penduduk warganegara adalah 103 lelaki bagi setiap 100 perempuan," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Menurut Mohd Uzir, penduduk berumur 0-14 tahun (umur muda) kekal tidak berubah pada 7.6 juta pada suku tahun keempat 2023 berbanding tahun sebelum. 

 

Beliau berkata, komposisi penduduk berumur 15 - 64 tahun (umur bekerja) meningkat kepada 23.6 juta daripada 23.1 juta berbanding suku keempat 2022. 

 

 

DOSM

 

 

"Komposisi penduduk berumur 65 tahun dan lebih (umur tua) meningkat kepada 2.5 juta (7.4%) daripada 2.4 juta (7.3%) bagi tempoh yang sama," katanya.

 

Selain itu katanya, jumlah kelahiran hidup merekodkan penurunan sebanyak 1.1% (112,767 kelahiran) berbanding 114,067 kelahiran pada suku tahun keempat 2022. 

 

Katanya, bayi lelaki melebihi perempuan dengan 57,894 kelahiran berbanding 54,873 kelahiran bayi perempuan. 

 

Mohd Uzir berkata, Selangor mencatatkan bilangan kelahiran hidup tertinggi iaitu 20,931 kelahiran (18.6%) manakala jumlah kelahiran hidup terendah dicatatkan oleh Wilayah Persekutuan Labuan (385 kelahiran: 0.3%). 

 

"Umur ibu 30-39 tahun merekodkan kelahiran hidup tertinggi iaitu 54,044 (47.9%) pada suku tahun ini, diikuti oleh ibu berumur 20-29 tahun (45.4%), 40 tahun dan lebih (4.2%) dan kurang daripada 20 tahun (2.4%)," katanya.

 

Beliau berkata, Melayu menyumbang 67.2% (75,763 kelahiran hidup) daripada jumlah kelahiran hidup pada suku tahun keempat 2023. 

 

Katanya, kelahiran hidup bagi Cina dan India masing-masing menurun 9.3% dan 4.1% berbanding 10.4% dan 4.4% pada suku tahun keempat 2022, manakala Bumiputera lain merekodkan peningkatan kepada 13.3% pada suku tahun keempat 2023.

 

Sebagai tambahan katanya, beliau juga menyatakan sebanyak 48,250 kematian direkodkan pada suku tahun keempat 2023, penurunan sebanyak 4.2% berbanding suku tahun keempat 2022 (50,374 kematian). 

 

"Bilangan kematian bagi lelaki adalah 27,508 manakala 20,742 kematian bagi perempuan. Pada tempoh yang sama, Selangor mencatatkan bilangan kematian tertinggi iaitu 7,700 kematian (16%) manakala Putrajaya mencatatkan bilangan kematian terendah dengan 69 kematian (0.1%). 

 

"Dari segi umur, bilangan kematian umur 60 tahun dan lebih merekodkan bilangan tertinggi iaitu 33,763 kematian (70%), diikuti oleh umur 41-59 tahun (20.4%), umur 15-40 tahun (7.4%) dan umur 0-14 tahun (2.3%)," katanya.

 

Katanya, Melayu menyumbang 51.4% (24,805 kematian) daripada jumlah kematian pada suku tahun keempat 2023. Kematian bagi Cina dan India masing-masing meningkat kepada 27% dan 8.6% pada suku tahun keempat 2023 berbanding 26.7% dan 8.4% pada suku tahun keempat 2022. 

 

Tambahnya, jumlah kematian bagi Bumiputera lain menurun kepada 10.2 peratus pada suku tahun keempat 2023. - DagangNews.com