KUALA LUMPUR 17 Ogos - Peneroka Felda yang ditawarkan pelarasan hutang diminta berhati-hati dalam
menandatangani perjanjian 6 muka surat itu dengan tempoh persetujuan yang amat singkat.
Ini kerana menurut Presiden Gerakan Ekonomi Malaysia (GEM), Armin Baniaz Pahamin, golongan peneroka sekarang dikategorikan sebagai golongan fakir di bawah pengurusan Felda dan menandatangani perjanjian itu tidak akan mengubah nasib mereka.
Beliau juga menyifatkan melupuskan sebahagian hutang peneroka tanpa menyelesaikan punca masalah
akan menimbulkan masalah yang sama pada masa depan dan peneroka-peneroka akan kembali dalam keadaan terdesak menanggung beban hutang yang tidak sepatutnya berlaku.
"Kami amat risau dan bimbang bagaimana peneroka-peneroka boleh mempunyai hutang terkumpul berjumlah RM10.375 bilion.
"Oleh itu, kami berpendapat, jumlah ini amat besar dan punca hutang terkumpul ini harus dikaji dan diteliti," katanya dalam kenyataan hari ini.
Berdasarkan kaji selidik GEM bersama peneroka dari Johor, Pahang, Perak, Negeri Sembilan pada 15 Ogos lalu, hampir keseluruhan wakil peneroka tidak tahu wujudnya jumlah hutang terkumpul yang teramat besar itu sehingga mereka diberi 14 hari pilihan untuk menandatangani perjanjian pelupusan hutang.
Malah, peneroka juga mengadu tidak pernah menerima sebarang penyata sehingga mereka diberi perjanjian pelupusan hutang itu.
Peneroka juga tidak dimaklumkan perincian butir-butir hutang tertunggak dan jumlah hasil kecuali maklumat hutang terkini di dalam penyata pelupusan.
Armin berkata, sebahagian besar jumlah hutang yang terkumpul berpunca daripada ketidakcekapan pengurusan oleh Felda (atau wakil Felda) dan berada di luar bidang kuasa peneroka kerana mereka telah menyerahkan pengurusan tanah kepada Felda.
Di bawah pengurusan Felda, katanya, peneroka terpaksa berhutang RM1,500 sebulan sebagai elaun sara hidup dan dalam beberapa kes, diberi RM1,500 sebulan sehingga lebih 10 tahun akibat dari ketidakcekapan pengurusan ladang oleh Felda.
"Ini amat berbeza dengan pulangan hasil bersih diantara RM8,000 hingga 12,000 sebulan yang diperoleh pada tahun ketiga oleh peneroka yang mengusahakan sendiri ladang mereka.
"Sedangkan kedua-dua hasil ladang dibawah pengurusan Felda dan pengurusan sendiri dijual kepada Felda," tegasnya.
Menurut beliau, hutang peneroka patut dilupuskan tanpa mereka perlu menandatangani sebarang perjanjian dan tindakan patut diambil ke atas pegawai Felda yang gagal melaksanakan tugas mereka dengan sempurna dan mengakibatkan peneroka menanggung hutang yang sebegitu banyak terutama tanpa sebarang penyata kewangan diserahkan.
"Dalam hal ini, peneroka sepatutnya dibayar ganti-rugi setiap kali pengurusan ladang gagal atau pun
lambat mengusahakan dan membuahkan hasil. Jumlah hasil juga patut dimaklumkan," katanya.
Armin menegaskan, GEM akan terus memantau dan mengkaji situasi peneroka dan akan membentangkan cadangan pembaikan dari segi dasar dan model perniagaan untuk memastikan taraf ekonomi peneroka akan terbela.
Beliau berkata, satu persefahaman baru perlu dicapai untuk memastikan punca hutang dan permasalahan diberi sepenuh tumpuan sebagai penyelesaian supaya ekonomi peneroka dapat diperbaiki dan mereka tidak terbeban dengan masalah yang sama pada masa akan datang. - DagangNews.com