KUALA LUMPUR 19 Jun - Pembelian KIP Mall Kota Warisan daripada pemegang unit utama untuk RM80 juta dijangka mendorong pertumbuhan pendapatan KIP Real Estate Investment Trust (KIP REIT).
TA Securities berkata hasil pendapatan hartanah bersih KIP Mall Kota Warisan untuk tempoh empat bulan berakhir 30 April 2023 telah mencapai 8%, melebihi hasil purata hartanah runcit KIP REIT yang lain pada 6.7% untuk tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022 (FY22) dan unjuran firma itu untuk hasil pengagihan bagi FY24 sebanyak 7.8%.
Dengan mengambil kira julat hasil pengambilalihan pusat membeli-belah runcit di Malaysia yang diperoleh REIT tersenarai antara 2016 dan 2022, firma penyelidikan itu berkata harga pegambilalihan KIP Mall Kota Warisan kelihatan menarik, melebihi julat 5.7% hingga 7.3%.
“Kami menganggarkan penggearan KIP REIT meningkat daripada 33.2% pada akhir Mac 2023 kepada 37.2%, berikutan cadangan penempatan persendirian dan pengambilalihan.
“Walaupun pemegang unit minoriti mungkin mengalami beberapa pencairan pendapatan kerana mereka dikecualikan daripada proses penjanaan modal, kami percaya penempatan persendirian kekal sebagai kaedah yang ideal untuk mendapatkan modal memandangkan tempoh pelaksanaannya lebih cepat,” katanya dalam nota hari ini.
Sebagai gambaran dengan mengandaikan penempatan persendirian dan pengambilalihan selesai pada penghujung 2023 iaitu akhir suku kedua tahun kewangan 2024 (2QFY24) syarikat itu, firma itu menjangkakan kesan bersih ke atas unjuran pendapatan FY24 susut 2% manakala bagi FY25 meningkat 5%.
Jelasnya, ini berdasarkan caruman pendapatan enam bulan pada FY24 dan caruman setahun penuh bagi FY25 dan firma itu secara keseluruhannya positif terhadap pengambilalihan memandangkan harga pembeliannya menarik dan mempunyai potensi kenaikan pendapatan.
“Pengambialihan itu meningkatkan aset di bawah pengurusan sebanyak 8.5% berjumlah RM1.02 bilion dan peningkatan 10% dalam kawasan boleh disewa bersih (NLA) kepada kira-kira 2.04 juta kaki persegi,” katanya.
Menurut firma itu, pihak pengurusan KIP REIT mendedahkan bahawa KIP Mall Kota Warisan dikenal pasti sebagai aset yang bagus disebabkan kematangannya, kadar penghunian tinggi dan kestabilan pendapatan sewa.
KIP REIT dilaporkan telah memeterai perjanjian jual beli bersyarat dengan Cahaya Serijaya Sdn Bhd, di mana ia merupakan perjanjian dalam kategori urus niaga pihak berkaitan memandangkan Datuk Ong Kook Liong memegang jawatan penting sebagai pengarah dan pemegang saham utama Cahaya Serijaya dan juga berkhidmat sebagai pengarah urusan dan pemegang unit utama KIP REIT.
TA Securities mengekalkan unjuran pendapatan sementara menunggu pengambilalihan tersebut selesai dan kekal dengan saranan ‘beli’ pada harga sasaran (TP) RM1.05 sesaham.
Pada waktu rehat tengahari ini, saham KIP REIT kekal pada 90 sen dengan modal pasarannya bernilai RM545.7 juta. -DagangNews.com