Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 27 Dis - AmInvestment Bank Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap Pavilion Real Estate Investment Trust (Pavilion REIT) dengan unjuran dan nilai wajar (FV) tidak berubah pada RM1.50 sesaham.
Penilaian itu berdasarkan kepada sasaran pengagihan hasil sebanyak 5% bagi tahun kewangan 2023 (FY23).
"Buat masa ini, kami mengekalkan unjuran pendapatan bagi FY21-FY23 memandangkan proses perbincangan pengambilalihan Pavilion Bukit Jalil masih di peringkat awal," katanya dalam nota kajian hari ini.
Pada Jumaat, Pavilion REIT mengumumkan MTrustee Bhd., pemegang amanah Pavilion REIT menerima jemputan daripada Regal Path Sdn. Bhd. (anak syarikat Malton Bhd.) untuk memulakan perbincangan bagi cadangan pengambilalihan Pavilion Bukit Jalil.
Pavilion REIT pada 2018 pernah mengumumkan hasratnya untuk menyertai pemilikan dalam pembangunan pusat beli-belah tersebut yang dibuka secara rasmi pada 3 Disember lalu.
Susulan itu, syarikat memeterai perjanjian tanpa pendedahan (NDA) untuk memulakan proses usaha wajar, perbincadangan mengenai kaedah penglibatan dan rundingan berhubung terma dan syarat berkaitan.
Bagaimanapun, pada awal 2019, Pavilion REIT membuat keputusan untuk tidak meneruskan menyertai pemilikan dalam Pavilion Bukit Jalil ini.
Pavilion Bukit Jalil terletak di kawasan seluas 50 ekar di Bukit Jalil dengan pembangunan dilaksanakan di bawah Malton.
Pusat beli-belah itu memiliki 5 tingkat ruang runcit berkeluasan 1.8 juta kaki persegi dan 2 tingkat kawasan letak kenderaan.
Bagi AmInvestment, saranan yang diberikan kepada Pavilion REIT adalah wajar dengan mengambil kira kualiti asetnya terletak di kawasan strategik pusat kewangan negara dan peranannya dalam menyediakan platform kepada jenama antarabangsa untuk berkembang dalam pasaran Malaysia dan turut menyokong permintaan ruang runcit di pusat beli-belah.
"Di samping itu, kami melihat sahamnya sebagai pilihan pemulihan selepas pandemik dengan pulangan dan dividen dianggarkan menarik melebihi 4% pada FY22 meskipun di tengah-tengah persekitaran kadar faedah yang rendah," jelasnya.
Setakat 10.22 pagi ini, harga saham Pavilion REIT kekal tidak berubah pada RM1.27 dengan 30,800 saham diniagakan. - DagangNews.com