Pengambilan pekerja warga asing: Majikan dinasihat tidak guna orang tengah bagi elak penipuan | DagangNews Skip to main content

Pengambilan pekerja warga asing: Majikan dinasihat tidak guna orang tengah bagi elak penipuan

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN
mohdzulfadli@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 10 Jan - Kementerian Sumber Manusia menasihatkan majikan tidak membuat sebarang pembayaran melalui orang tengah atau pihak ketiga bagi tujuan mempercepatkan proses permohonan pengambilan pekerja warga asing bagi mengelakkan berlaku penipuan pihak tidak bertanggungjawab.

 

Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan berkata, oleh itu kementerian akan membuat pengumuman dalam masa terdekat berhubung tarikh permohonan yang boleh dikemukakan majikan secara atas talian berhubung proses tersebut untuk setiap sektor pekerjaan yang dibenarkan dari negara sumber. 

 

Beliau berkata, majikan yang ingin menggajikan pekerja warga asing perlu mengemukakan permohonan sendiri berdasarkan kepada keperluan sebenar pekerja asing. 

 

"Majikan yang menggunakan khidmat agensi pekerjaan swasta juga perlulah memastikan bahawa agensi tersebut berdaftar dan mempunyai lesen yang diperakui oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia di bawah Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Menurut M. Saravanan, kemasukan pekerja warga asing untuk semua sektor pekerjaan telah diluluskan oleh Mesyuarat Jemaah Menteri pada 10 Disember tahun lalu. 

sara

"Kemasukan ini akan dibuka untuk semua sektor yang dibenarkan bagi penggajian pekerja asing iaitu pertanian, perkilangan, perkhidmatan, perlombongan dan kuari, pembinaan dan perkhidmatan domestik.

 

"Sebelum ini, kelulusan telah diberikan untuk kemasukan seramai 32,000 pekerja warga asing bagi sektor perladangan secara pengecualian khas," katanya.

 

Tambah beliau, semua kemasukan ini perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kemasukan pekerja warga asing yang telah diluluskan Mesyuarat Kuartet Menteri COVID-19 pada 14 Disember tahun lalu. 

 

Katanya, SOP itu merangkumi empat fasa iaitu pra pelepasan, semasa ketibaan, selepas ketibaan iaitu tempoh kuarantin dan pasca kuarantin. - DagangNews.com