Penganalisis semak semula unjuran akhir tahun KLCI lebih rendah  | DagangNews Skip to main content

Penganalisis semak semula unjuran akhir tahun KLCI lebih rendah 

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 2 Dis - Unjuran FBM KLCI bagi akhir tahun ini disemak lebih rendah mencerminkan situasi semasa ekonomi yang kini dipengaruhi kemunculan varian baharu COVID-19, Omicron.

 

Pada masa sama, penganalisis mendapati, musim laporan kewangan bagi suku ketiga tidaklah seburuk yang disangka meskipun ekonomi negara terjejas akibat perintah kawalan pergerakan bagi mengekang penularan wabak ini dalam tempoh berkenaan.

 

Dalam nota kajian, CGS-CIMB menganggarkan KLCI menjelang akhir tahun ini akan berlegar pada paras 1,495 mata berbanding sebelum ini 1,629 mata. 

 

Firma ini turut menganggarkan KLCI bagi akhir 2022 pada paras 1,637 mata. 

 

Katanya, pengurangan sasaran KLCI hujung tahun ini mencerminkan semakan pendapatan selepas selesai musim laporan kewangan suku ketiga.

 

"Kami menjangkakan pasaran akan menjadi kurang bermaya hingga akhir tahun ini memandangkan pelabur menilai impak daripada varian Omicron dan potensi penamatan bon di Amerika Syarikat (AS) lebih awal. 

 

"Pelabur pula memilih untuk 'berdiam diri' kerana bersiap sedia menerima impak daripada cadangan kenaikan 50% kadar duti setem bagi nota kontrak, yang menjadikan pasaran paling mahal untuk dagangan di ASEAN mulai 1 Januari 2022. 

 

"Ini juga termasuklah pelaksanaan cukai keuntungan sekali atau Cukai Makmur dan pemansuhan pengecualian cukai bagi pendapatan sumber asing," katanya hari ini. 

 

Sementara itu, MIDF Research berkata, dalam tempoh terdekat, potensi daripada kesan varian Omicron masih tidak menentu. 

 

Oleh itu, katanya, di sebalik Disember yang sepatutnya menjadi bulan yang positif bagi pasaran ekuiti, kenaikan baru-baru ini mungkin terhad pada 1,600 mata.

 

"Dalam hal ini, kami mengurangkan unjuran akhir tahun KLCI kepada 1,600 mata daripada 1,650 mata," tambahnya.

 

Menurut firma itu, walaupun hasil korporat agak baik, dengan situasi COVID-19 domestik bertambah baik, sebahagian besar ekonomi dibuka semula dan data makro menuju ke arah pemulihan, namun pasaran ekuiti tempatan masih teragak-agak untuk meningkat seiring dengan asas peningkatan.

 

Di sebalik pelaksanaan sekatan pergerakan, pendapatan bagi konstituen KLCI menunjukkan pertumbuhan 28.6% tahun ke tahun pada suku ketiga. 

 

Ini terutamanya menerusi pendapatan terlaras bagi konstituen perkhidmatan kewangan (petunjuk utama tahap kesihatan ekonomi) berkembang 16.9% tahun ke tahun. 

 

"Kami dapati, prestasi pasaran dalam tempoh jangka pendek kurang bergantung kepada pemangkin pendapatan sebaliknya lebih kepada sentimen, yang sememangnya lemah sejak beberapa bulan lalu.

 

"Tambahan pula, sentimen pasaran kini terus dipengaruhi dengan kebimbangan terhadap varian Omicron," jelasnya. 

 

Kenanga Research turut menyemak semula unjuran akhir tahun KLCI kepada 1,533 mata berbanding 1,601 mata sebelum ini.

 

Firma itu bagaimanapun menyasarkan KLCI akan berlegar pada paras 1,680 mata menjelang akhir 2022. - DagangNews.com