KUALA LUMPUR 15 Feb - Penganalisis mengunjurkan harga minyak sawit mentah (MSM) berada antara RM3,800 hingga RM4,200 bagi setiap tan didorong beberapa faktor termasuk kos input yang rendah dan pasaran eksport kekal tinggi menjelang Ramadan.
Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, harga MSM dijangka meningkat melebihi RM4,200 satu tan pada Februari dan Mac 2024.
Katanya, pengeluaran ketika ini menyusut sedangkan permintaan dalam pasaran eksport minyak sawit mentah kekal tinggi menjelang Ramadan tidak lama lagi.
Bagaimanapun harga MSM dijangka berada pada aliran menurun selepas Mac berikutan penuaian minyak sawit di Amerika Selatan di samping jangkaan pengeluaran kembali pulih pada separuh kedua 2024.
"Kami berpendapat bahawa stok minyak sawit Malaysia akan jatuh di bawah 2 juta tan menjelang akhir Februari dan kami mengulangi pandangan bahawa harga MSM mungkin melebihi RM4,200 satu tan pada Februari dan Mac," katanya dalam nota kajian.
Maybank IB mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor perladangan dengan saranan 'Beli' kepada saham Ta Ann Holdings Berhad dan Sarawak Oil Palm Berhad (SOP).
Sementara itu, Kenanga Research berkata, kos input yang rendah dijangka mendorong harga purata MSM berada pada paras RM3,800 bagi setiap tan.
Katanya, harga baja dan tenaga kini adalah lebih rendah antara 30% hingga 40% berbanding tahun ini dan pada masa sama hasil buah tandan segar (BTS) bertambah baik di Malaysia disokong kehadiran semula pekerja yang membolehkan penuaian tepat pada masanya dan penjagaan ladang yang lebih baik.
Katanya, permintaan terhadap isirung sawit (PK), produk sampingan pengeluaran MSM, boleh menjadi stabil dengan pemulihan harga PK yang sederhana pada akhir 2024 atau 2025 walaupun harga rendah sejak pertengahan 2022.
"Harga PK yang lebih tinggi akan diterjemahkan kepada mengurangkan kos pengeluaran MSM," katanya.
Kenanga Research lebih mengutamakan pertumbuhan berbanding pendapatan bagi tempoh tiga hingga enam bulan akan datang dengan Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) (outperform; TP: RM24.50) sebagai pilihan utama berdasarkan rekod prestasi cemerlang dan potensi pengembangan industri huluan dan hiliran di luar Malaysia.
Katanya, pada Disember 2023, KLK memperoleh pegangan yang besar antara 90% hingga 92% dalam dua ladang kelapa sawit, seluas 7,173 hektar, dengan mereka menguruskannya bagi Batu Kawan Bhd.
“Kemudian pada awal Februari 2024, KLK membeli baki 4.57% ekuiti dalam IJM Plantations yang bukan miliknya. IJM Plantations Berhad (kini KLK Sawit Nusantara) mengendalikan kira-kira 62,000 hektar kawasan tanaman kelapa sawit.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor itu. - DagangNews.com