Pengarah Pixelvest didakwa 17 tuduhan pengubahan wang haram, babit jumlah RM164.5 juta | DagangNews Skip to main content

Pengarah Pixelvest didakwa 17 tuduhan pengubahan wang haram, babit jumlah RM164.5 juta

Pengarah Pixelvest Sdn Bhd Sophia Chin Wai Lan berdepan 17 pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) kerana menerima hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang. /Gambar hiasan
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 11 Jan - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mendakwa seorang pengarah syarikat di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan melakukan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sebanyak RM164.5 juta.

 

Tertuduh yang juga Pengarah Pixelvest Sdn Bhd (Pixelvest), Sophia Chin Wai Lan berdepan 17 pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) kerana menerima hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang.

 

Mengikut pertuduhan, Sophia Chin menerima hasil haram itu dalam akaun bank peribadinya serta dalam beberapa syarikat yang mana dia menjadi pengarah atau rakan kongsi. 

 

Syarikat-syarikat ini termasuk Pinetree Field Sdn Bhd, SC Wealth Planners Sdn Bhd, Quarters Venture Sdn Bhd, New Straits Venture Sdn Bhd dan Quarters Capital PLT.

 

Sophia Chin didakwa melakukan kesalahan tersebut dalam tempoh antara 23 Disember 2020 dan 2 Oktober 2022 di Kuala Lumpur dan Selangor.

 

Wanita itu bagaimanapun tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan di atas kesemua pertuduhan tersebut yang dibuat SC di dua mahkamah bersaingan.

 

Di mahkamah pertama, Hakim, Datin Sabariah Othman menetapkan ikat jamin sebanyak RM7 juta dengan dua penjamin manakala di mahkamah kedua, Hakim Azrul Darus turut menetapkan ikat jamin RM7 juta tetapi dengan seorang penjamin.

 

SC dalam kenyataan media berkata, jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan sehingga 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

 

Pertuduhan terhadap Sophia Chin adalah susulan daripada tindakan penguatkuasaan SC berhubung kes yang sama terhadap dua individu lain semalam.

 

SC telah mengenakan pertuduhan terhadap Dexter Ang Jen Chuen dan Syaiful Riezal Ahmad atas kesalahan sama di bawah Seksyen 4(1)(b) AMLATFPUAA pada 10 Januari 2024.

 

Dexter Ang dan Syaiful Riezal didakwa atas 11 kesalahan pengubahan wang haram membabitkan lebih RM119 juta.

 

Tertuduh pertama merupakan bekas pengarah Pixelvest manakala Syaiful Riezal pula adalah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Infinity Trustee Berhad,- DagangNews.com