Pengaruh dunia barat terhadap minyak sawit negara masih membimbangkan - MIDF | DagangNews Skip to main content

Pengaruh dunia barat terhadap minyak sawit negara masih membimbangkan - MIDF

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 15 Okt. - Sektor perladangan di negara ini masih dibelenggu pelbagai persepsi meskipun pemain industri telah mengambil langkah sewajarnya bagi membersihkan imej Malaysia di mata dunia. 

 

Paling membimbangkan, adalah pengaruh yang digunakan dunia barat terutama Amerika Syarikat (AS) dan Eropah ke atas sektor minyak sawit negara, demikian menurut penganalisis MIDF Research, Shahira Rahim. 

 

Berdasarkan data yang dikumpul Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), pengimport terbesar minyak sawit negara ialah India dan China tetapi AS dan Eropah pula paling banyak menimbulkan masalah.

 

"Kami berpendapat, sekatan yang dikenakan AS terhadap minyak sawit negara telah menjejaskan reputasi dan dagangan dengan beberapa negara antaranya, India, China dan Eropah.

 

"Hakikatnya, pemain industri tempatan memandang serius mengenai perkara ini dan mereka sudah pun memberi kerjasama yang baik (berhubung dakwaan yang dilemparkan)," katanya dalam laporan tematik yang diperoleh DagangNews.com hari ini. 

 

Sektor perladangan tempatan berdepan pelbagai cabaran dari negara barat bermula dengan pelaksanaan akta dan peraturan seperti strategi Farm-to-Fork, Arahan Tenaga Boleh Diperbaharui (RED) Kesatuan Eropah (EU) dan dasar EU mengenai hutan dan penebangan hutan.  

 

Pada Februari lalu, syarikat pengeluar makanan AS, General Mills mengeluarkan arahan 'tiada tempahan pembelian' terhadap FGV Holdings Bhd. dan Sime Darby Plantations Bhd. yang mana kedua-syarikat ini turut berdepan dengan sekatan oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS (CBP) ekoran dakwaan penggunaan buruh paksa pada tahun lalu. 

 

Menurut Shahira, di sebalik usaha Malaysia untuk menambah baik amalan perladangan sejak 1917, sektor tersebut masih berdepan kritikan hebat dan persepsi salah berhubung pengeluarannya terhadap isu-isu berkaitan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG). 

 

"Melihat kepada Indeks Perladangan Kuala Lumpur (KL), terdapat perbezaan antara harga minyak sawit mentah dan kaunter syarikat perladangan tempatan, yang mungkin dipengaruhi sentimen negatif menyebabkan kurang minat belian terhadap sektor perladangan. 

 

"Malah, saham syarikat perladangan juga kekal mendatar di sebalik kenaikan harga minyak sawit mentah," jelasnya. 

 

Dalam hal ini, beliau percaya, sektor minyak sawit negara masih dibayangi persepsi salah seperti digambarkan organisasi antarabangsa yang memburukkan minyak sawit berbanding pesaing minyak lain, sekali gus menjejaskan reputasi industri ini.

 

Berdasarkan analisis yang dijalankannya, Indeks Perladangan KL mula kembali meningkat pada November 2020 sejajar dengan pemulihan aktiviti ekonomi, meskipun industri perladangan tidak terjejas dengan peningkatan jangkitan kes COVID-19.

 

Ketika ini, indeks tesebut kekal di bawah paras 7,000 mata, dan kenaikan harga minyak sawit mentah seolah-olah tidak memberi sebarang impak kepada pergerakan indeks. 

 

Bagaimanapun, melihat kepada perbezaan antara harga minyak sawit mentah dan indeks perladangan itu, beliau berpendapat, harga saham perladangan akan kembali bergerak dan mencerminkan momentum harga minyak sawit mentah.

 

"Dengan memerhati tiga pemain utama, Sime Darby Plantation, IOI Corp dan Kuala Lumpur Kepong (KLK), apa yang menariknya, pembelian sahamnya adalah daripada pelabur asing," katanya. 

 

Oleh itu, secara keseluruhan, MIDF Research mengekalkan pandangan 'positif' terhadap sektor perladangan dengan menganggarkan harga minyak sawit mentah tahun ini berlegar pada paras RM3,600 satu tan metrik.

 

"Namun, kami berpendapat, lebih banyak analisis perlu dilakukan terhadap sektor perladangan sekiranya mereka mahu menerapkan amalan ESG.

 

"Apatah lagi, Malaysia merupakan pengeluar minyak sawit kedua terbesar dunia selepas Indonesia," tambahnya. 
 
Firma itu turut mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham KLK dan TSH Resourses Bhd. dengan harga sasaran masing-masing tidak berubah pada RM29.71 dan RM1.62. - DagangNews.com