Pengeluaran getah asli Malaysia susut 1.1% pada Disember 2023 - DOSM | DagangNews Skip to main content

Pengeluaran getah asli Malaysia susut 1.1% pada Disember 2023 - DOSM

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 9 Feb - Pengeluaran getah asli menurun 1.1% pada bulan Disember 2023 (30,342 tan metrik) berbanding pada November 2023 (30,669 tan metrik), menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, perbandingan tahun ke tahun menunjukkan pengeluaran getah asli menurun 0.7%.

 

Beliau berkata, pengeluaran getah asli Malaysia pada Disember 2023 disumbangkan terutamanya oleh sektor pekebun kecil (88%) berbanding sektor estet (12%).

 

Katanya, jumlah stok getah asli pada Disember 2023 meningkat 11% kepada 191,320 tan metrik berbanding 172,307 tan metrik pada November 2023. 

 

"Kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 91.1% diikuti kilang pengguna getah (8.9%) dan estet getah (0.1%)," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Menurut DOSM, jumlah stok getah asli pada Disember 2023 meningkat 11% kepada 191,320 tan metrik berbanding 172,307 tan metrik pada November 2023. 

 

Katanya, kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 91.1% diikuti kilang pengguna getah (8.9%) dan estet getah (0.1%).

 

 

dosm

 

 

"Eksport getah asli Malaysia berjumlah 45,591 tan metrik pada Disember 2023, menurun 11.7% berbanding November 2023 (51,643 tan metrik). 

 

"China terus kekal sebagai destinasi utama untuk eksport getah asli iaitu berjumlah 41.5% daripada jumlah keseluruhan eksport pada Disember 2023 diikuti Jerman (12.7%), Iran (3.9%), Amerika Syarikat (3.8%) dan Pakistan (2.8%)," katanya.

 

DOSM berkata, prestasi eksport disumbangkan produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub, benang getah dan kondom. 

 

Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak RM0.9 billion pada Disember 2023, menurun 5.9% berbanding November 2023 (RM1 billion), katanya.

 

Selain itu katanya, analisis perbandingan harga purata bulanan menunjukkan lateks pekat merekodkan penurunan iaitu 2.2% (Disember 2023: 537.63 sen sekilogram; November 2023: 549.67 sen sekilogram) manakala sekerap menurun 3.4% (Disember 2023: 542.89 sen sekilogram; November 2023: 562.24 sen sekilogram). 

 

"Harga bagi semua jenis Getah Mutu Malaysia (G.M.M) pula menurun antara 2.1% hingga 2.2%. The World Bank Commodity Price Data melaporkan harga bagi getah jenis TSR 20 (Technically Specified Rubber) menurun 1.6% (daripada AS$1.48/kg kepada AS$1.46/kg) dan SGP/MYS (Singapura/Malaysia) menurun 0.8% (daripada AS$1.67/kg kepada AS$1.66/kg).

 

"Prestasi suku keempat 2023 menunjukkan pengeluaran getah asli meningkat 1.5% kepada 93,956 tan metrik berbanding 92,599 tan metrik pada suku ketiga 2023. Prestasi pertumbuhan tahunan pengeluaran getah asli Malaysia pada suku keempat 2023 pula mencatatkan peningkatan 3.9% berbanding suku keempat 2022 (90,399 tan metrik)," katanya.

 

Menurut Malaysia Rubber Board Digest pada Disember 2023, trend pasaran getah Kuala Lumpur bercampur-campur dengan menyaksikan harga GMM 20 ditutup lebih tinggi pada dagangan terakhir 2023. 

 

Secara keseluruhannya, sentimen positif disumbangkan keyakinan lebih tinggi terhadap lebih banyak langkah rangsangan yang diumumkan oleh China untuk menyokong pemulihan ekonomi serta dengan jangkaan bahawa Rizab Persekutuan Amerika Syarikat akan mula mengurangkan kadar faedah pada tahun 2024. - DagangNews.com