Pengeluaran merosot, stok minyak sawit Malaysia cecah paras terendah 4 bulan | DagangNews Skip to main content

Pengeluaran merosot, stok minyak sawit Malaysia cecah paras terendah 4 bulan

KUALA LUMPUR 10 Jan - Stok minyak sawit Malaysia pada akhir Disember mencecah paras empat bulan terendah berikutan kemerosotan pengeluaran.

 

Berdasar data Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), pengeluaran minyak sawit merosot ke paras terendah dalam tempoh enam bulan, mengimbangi kelembapan eksport.

 

Pengurangan stok di Malaysia yang merupakan pengeluar minyak sawit kedua terbesar di dunia akan membantu dalam menyokong penanda aras niaga hadapan yang kehilangan 10% pada 2023.

 

Data MPOB menunjukkan stok minyak sawit susut 4.64% bulan ke bulan kepada 2.29 juta tan metrik, terendah sejak Ogos.

 

Pengeluaran minyak sawit mentah pada Disember menjunam 13.31% kepada 1.55 juta tan daripada bulan sebelumnya, manakala eksport minyak sawit susut 5.12% kepada 1.33 juta tan, kata MPOB.

 

sawit
Malaysia merupakan pengeluar minyak sawit kedua terbesar di dunia.

 

Kaji selidik Reuters meramalkan simpanan sawit Disember pada 2.37 juta tan, penyusutan 2.28% daripada bulan sebelumnya dengan pengeluaran pada 1.6 juta tan dan eksport pada 1.34 juta tan.

 

"Data itu sejajar dengan jangkaan pasaran. Pasaran telah mengambil kira pengurangan pengeluaran, itulah sebabnya niaga hadapan meningkat sejak dua hari lalu.

 

"Pengurangan pengeluaran agak mengejutkan. Jika trend ini berterusan hingga Januari, kita boleh menyaksikan penyusutan yang lebih besar sama ada pengeluaran mahu pun stok simpanan pada bulan itu," kata Anilkumar Bagani, ketua penyelidik broker minyak sayuran yang berpangkalan di Mumbai Sunvin Group seperti dilapor Reuters.

 

Menurut Anilkumar, tumpuan kini adalah pada prestasi eksport Januari manakala pengeluaran dijangka terus menurun.- DagangNews.com