Pengeluaran wang di luar negara memudahkan, tetapi caj mesin ATM boleh cecah sehingga 14.8 peratus setiap tranksaksi | DagangNews Skip to main content

Pengeluaran wang di luar negara memudahkan, tetapi caj mesin ATM boleh cecah sehingga 14.8 peratus setiap tranksaksi

Caj pengeluaran tunai di mesin ATM yang dikenakan adalah berbeza mengikut negara./ Gambar Giovanni Gagliardi
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 22 Jan - Kemudahan mengeluarkan wang di luar negara menerusi mesin ATM sering menjadi pilihan ramai termasuk rakyat Malaysia apabila melancong ke negara asing. 

 

Namun ramai yang tidak sedar caj pengeluaran yang dikenakan adalah berbeza mengikut negara di samping terdapat kos tersembunyi lain yang akhirnya memberi kesan kepada perbelanjaan seseorang pelancong.

 

Menurut kajian Wise, negara-negara di Amerika Selatan mengenakan caj pengeluaran tertinggi berbanding rantau lain dengan Argentina didapati mengenakan caj sehingga 14.8 peratus bagi setiap transaksi diikuti Chile (6.33  peratus).

 

Kata syarikat itu, beberapa destinasi pelancongan popular buat warga Malaysia turut tidak terkecuali mengenakan caj yang boleh dianggap tinggi.

 

Keseluruhannya, Australia, Filipina, Singapura, Korea Selatan, Thailand dan Vietnam mengenakan caj ATM di antara 1.15 peratus hingga 2.85 peratus bagi setiap pengeluaran.

 

Misalnya caj pengeluaran wang menerusi mesin ATM di Thailand adalah sebanyak 2.62 peratus bagi pengeluaran RM1,000.

 

Bagaimanapun, terdapat juga negara yang popular dalam kalangan pelancong Malaysia mengenakan caj mesin ATM di bawah 1 peratus seperti United Kingdom (UK), Jepun dan Taiwan.

 

Selain yuran ATM, rakyat Malaysia di luar negara mungkin berdepan caj tersembunyi dalam bentuk penanda kadar pertukaran yang tidak didedahkan apabila menggunakan kad kredit atau debit tradisional. 

 

Yuran tersembunyi ini sering menyebabkan ramai pelancong berbelanja lebih daripada yang mereka jangkakan.

 

Pengurus Negara Wise di Malaysia, Lim Paik Wan berkata, yuran ATM yang berbeza-beza di luar negara menekankan kepentingan perancangan kewangan strategik untuk rakyat Malaysia. 

 

wise
Pengurus Negara Wise di Malaysia, Lim Paik Wan

 

"Mengeluarkan wang di luar negara boleh menjadi mudah, tetapi kosnya berbeza dengan ketara. 

 

"Adalah penting bagi pengembara untuk mengetahui bila mereka akan dikenakan bayaran tersembunyi dan mempertimbangkan alternatif yang mempunyai kos lebih cekap semasa berada di luar negara. 

 

"Untuk terus mendapat maklumat, pengembara boleh melihat kepada Wise, yang menekankan ketelusan dan penetapan harga yang adil dengan menggunakan kadar pertukaran pasaran pertengahan – yang biasanya ditunjukkandi Google dan memperincikan semua yuran untuk setiap transaksi," katanya.

 

Kata Wise, rakyat Malaysia amat digalakkan untuk meneroka alternatif pembayaran digital untuk mengurangkan pergantungan kepada pengeluaran ATM.

 

"Bagi pembayaran menggunakan kad (kredit atau debit) pula, seharusnya pembayaran dilakukan dalam mata wang tempatan destinasi mereka melancong. 

 

"Mereka juga boleh menggunakan kad Wise, yang memudahkan perbelanjaan antarabangsa yang lancar dalam lebih 40 mata wang berbeza, dan membenarkan dua pengeluaran percuma sehingga RM1,000 sebulan," kata Wise.- DagangNews.com